mutakhir

Bau busuk terungkai

Oleh Norizuan Shamsuddin

MISTERI bau busuk yang mencurigakan membongkar penemuan mayat lelaki berusia 59 tahun di sebuah kediaman di Flat Sri Selangor, Kuala Lumpur hari ini.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Shaharuddin Abdullah berkata, pihaknya menerima aduan daripada wanita memaklumkan terdapat bau busuk dari kediaman jirannya pada jam 12.40 tengah hari.

Katanya, susulan aduan itu sepasukan pegawai dan anggota dikerahkan ke lokasi.

“Anggota meminta bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) memecahkan pintu depan rumah yang berkunci.

“Apabila anggota masuk didapati ada mayat lelaki dengan keadaan tidak berbaju dan berseluar pendek terlentang di penjuru rumah.

“Semakan mendapati mangsa dikenali Ahmad Suhaimi Rosli, 59, dan tiada unsur jenayah ditemui di lokasi,” katanya.

Shaharuddin berkata, susulan itu mayat dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat.

Katanya, hasil semakan rekod kesihatan mendapati mangsa mempunyai masalah darah tinggi kronik.

“Hasil bedah siasat doktor mengesahkan mangsa meninggal kerana komplikasi darah tinggi.

“Pihak polis juga sudah mengesan waris mangsa dan keterangan mendapati si mati tinggal seorang diri di rumah itu selepas bercerai dengan isteri.

“Mangsa juga mempunyai seorang anak yang bekerja di Ipoh, Perak.

“Kali terakhir mangsa ditemui warisnya dua minggu lalu dan mangsa ada memaklumkan dia menghidap darah tinggi kronik serta sudah menjalani rawatan sejak dua tahun lalu,” katanya.

Disiarkan pada: January 10, 2019 @ 6:57pm
d