mutakhir

Bekas CEO nafi terima rasuah bina banglo [METROTV]

Oleh Muhammad Apendy Issahak

BEKAS Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Perak Corporation Berhad, Datuk Aminuddin Md Desa, 57, didakwa di Mahkamah Sesyen Ipoh, hari ini atas dakwaan menerima rasuah dalam bentuk pembayaran pembinaan rumah banglo miliknya bernilai RM455,660, dua tahun lalu.

Aminuddin didakwa menerima untuk dirinya sebagai seorang penjawat awam benda berharga iaitu pembayaran bagi kerja pembinaan rumah banglo miliknya di Lot PT2144059 Mukim Hulu Kinta, di Ipoh antara 17 Januari 2017 hingga 3 Julai 2017.

Pembayaran itu diterima daripada Chua Kim Weng, Pengarah Uni-poh Construction Works Sdn Bhd yang diketahui tertuduh mempunyai hubungan dengan tugas rasminya iaitu membabitkan kontrak cadangan kerja infrastruktur utama dan lain-lain berkaitan di Bandar Meru Raya 2, Mukim Hulu Kinta.

Tertuduh yang berkhidmat dengan anak syarikat milik kerajaan negeri itu sejak Februari 2013 hingga Mei tahun lalu didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan berdepan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Pertuduhan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Farah Yasmin Salleh di hadapan Hakim S Indra Nehru.

Aminuddin yang diwakili peguam Najmi Dawami Abd Hamid, memahami pertuduhan dihadapi, namun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan.

Pihak pendakwaan mencadangkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin dan syarat tambahan tertuduh menyerahkan pasport.

Najmi Dawami kemudian meminta mahkamah mengenakan jaminan RM15,000 kerana tertuduh mempunyai tanggungan anak seramai tujuh orang selain memberi kerjasama baik kepada SPRM dan mempunyai rekod khidmat cemerlang serta tiada rekod jenayah lampau.

Indra Nehru kemudian membenarkan tertuduh dijamin RM15,000 dengan seorang penjamin serta pasport diserahkan kepada SPRM sebelum menetapkan 22 Februari ini untuk sebutan semula kes.

Disiarkan pada: January 10, 2019 @ 9:39pm
d