mutakhir

Unit kondominium jadi 'sarang' judi

Oleh Fazrik Kamarudin

BAHAGIAN Antimaksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor menyerbu dua unit kondominium di Pandan Indah, Ampang yang dijadikan tempat mengendalikan 11 laman sesawang judi dalam talian, hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kontinjen Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, serbuan dilakukan pada jam 2 petang itu berjaya melumpuhkan sindiket berkenaan yang menerima wang pertaruhan sebanyak RM17.6 juta dalam tempoh sebulan.

“Hasil pemeriksaan di dua unit kondominium berkenaan, polis menemui tiga komputer di setiap unit kediaman terbabit yang digunakan untuk mengendalikan aktiviti judi dalam talian.

“Kami turut menahan 14 individu warga Indonesia termasuk lapan wanita dan seorang lelaki warga Myanmar, semuanya berusia antara 16 hingga 32 tahun yang bekerja sebagai penyelia menguruskan transaksi pertaruhan dan menyebarkan iklan mengenai laman web dikendalikan sindiket terbabit.

“Sindiket itu dipercayai sudah beroperasi sejak tahun lalu dengan mengutip wang pertaruhan mencecah RM17.6 juta setiap bulan, yang mana setiap laman sesawang judi dikendalikan mereka ini memperoleh sebanyak RM1.6 juta setiap bulan,” katanya pada sidang media di lokasi serbuan, di sini, hari ini.

Fadzil berkata, modus operandi sindiket berkenaan adalah menjalankan operasi mereka secara kecil dengan memecahkan pusat operasi kepada beberapa lokasi bagi mengelak kegiatan dikesan pihak berkuasa.

“Mereka hanya menggunakan tiga komputer dalam setiap rumah yang dikendalikan tujuh hingga lapan pekerja warga asing yang bekerja mengikut syif 12 jam setiap hari dengan gaji RM1,500 sebulan.

“Mereka juga menguruskan wang pertaruhan pelanggan yang dimasukkan menerusi beberapa akaun bank tempatan,” katanya.

Beliau berkata, pemeriksaan lanjut mendapati semua warga asing yang ditahan itu tinggal lebih masa di negara ini.

“Kes disiasat mengikut Akta Rumah Judi Terbuka 1953. Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kegiatan judi di kawasan mereka diminta tampil menghulurkan maklumat kepada pihak polis,” katanya.

Disiarkan pada: January 10, 2019 @ 11:48pm
d