mutakhir

JSPT dihantar pantau lalu lintas

Oleh Mohd Azam Shah Yaacob

Kuala Lumpur: Kesesakan lalu lintas dijangka berlaku sepanjang proses Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands, Pahang, 26 Januari ini.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata, berikutan itu sepasukan pegawai dari Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) akan dihantar untuk memantau keadaan lalu lintas sepanjang tempoh PRK berlangsung.

“Perkara itu memang antara masalah utama di Cameron Highlands dan kita jangka jika tiada persediaan awal, kesesakan lalu lintas akan menjadi lebih teruk terutama pada hari pembuangan undi nanti.

“Jadi, kita harap pengundi ikut arahan lalu lintas daripada pegawai dan anggota JSPT yang bertugas di sana,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Forum Kes Penderaan Kanak-Anak Semakin Meningkat: Adakah Undang-Undang Kurang Berkesan? di Maktab PDRM Kuala Lumpur, di sini, semalam.

Turut hadir, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh.

Ketika ditanya mengenai aspek keselamatan pula, Noor Rashid memberi jaminan proses PRK akan berjalan dengan aman.

Sebelum ini, Pakatan Harapan (PH) mengumumkan Timbalan Pengerusi DAP Pahang, M Manogaran sebagai calon PH pada PRK Cameron Highlands.

Manogaran menentang bekas pegawai kanan PDRM, Ramli Mohd Nor yang diumumkan sebagai calon Barisan Nasional (BN).

Disiarkan pada: January 11, 2019 @ 10:32am
d