mutakhir

Dua direman empat hari lulus projek USP [METROTV]

Oleh Noor Atiqah Sulaiman

Putrajaya: Seorang timbalan pengarah sebuah agensi kerajaan antara dua individu yang ditahan reman empat hari berkaitan kes meminta suapan berhubung kelulusan projek Pemberian Perkhidmatan Sejagat (USP) bernilai RM270,000.

Majistret Mahkamah Putrajaya, Low Wen Zhen membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menahan reman kedua-dua suspek berkenaan hingga Ahad ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 17(a), Akta SPRM.

Suspek sebelum ini ditahan SPRM di sebuah pusat beli-belah di Putrajaya, kelmarin ketika menerima wang tunai berjumlah RM50,000 iaitu baki jumlah yang sepatutnya diterima oleh suspek.

Turut ditahan bersama suspek ialah seorang lelaki berusia 43 tahun yang bekerja sebagai pengutip hutang di lokasi dan masa sama ketika urusan berkenaan.

Difahamkan, suspek menerima wang berkenaan daripada seorang perunding sebagai balasan mendapatkan projek membina menara komunikasi bernilai RM31 juta di Kelantan dan Terengganu.

Suspek didakwa menerima wang suapan itu secara berperingkat sejak 2015 daripada syarikat terbabit sebagai ganjaran kerana menganugerahkan projek berkenaan.

SPRM turut merampas wang tunai berjumlah RM50,000 iaitu sebahagian daripada jumlah RM270,000 yang diminta.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan penahanan berkenaan.

Disiarkan pada: January 11, 2019 @ 11:02am
d