mutakhir

Tak mengaku cabul anak [METROTV]

Oleh Muhammad Apendy Issahak

LELAKI didakwa di Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini atas tuduhan mencabul anak perempuannya di sebuah rumah tidak bernombor di Malim Nawar, Kampar, Julai lalu.

Tertuduh berusia 38 tahun itu didakwa meraba kemaluan anak kandungnya berusia 13 tahun mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Naidatul Athirah Azman di hadapan Hakim Norashima Khalid.

Tertuduh yang diwakili peguam S Teeban, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan dihadapi dan minta dibicarakan.

Pihak pendakwaan menyatakan kesalahan dilakukan tidak boleh dijamin kerana tertuduh membabitkan bapa kandung mangsa dan jika mahkamah ingin memberikan jaminan perlu menetapkan syarat tambahan iaitu tertuduh perlu lapor diri di balai polis berhampiran seminggu sekali serta tidak boleh berhubung dengan mangsa dan ibu mangsa.

Teeban kemudian memohon tertuduh yang hanya bekerja kampung dengan pendapatan kira-kira RM1,000 sebulan dibenarkan diikat jamin namun Norashima tidak membenarkan jaminan dan menetapkan 15 Februari ini untuk sebutan semula kes.

Mangsa adalah anak sulung tertuduh hasil perkahwinan pertamanya yang turut dikurniakan seorang anak lelaki.

Tertuduh sudah bercerai pada 2013 dan berkahwin baharu pada 2017 serta mempunyai dua anak tiri perempuan.

Lelaki yang ditahan pada 5 Januari lalu susulan laporan dibuat ibu mangsa kini berdepan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan dan diletakkan di bawah pengawasan polis tidak kurang setahun.

Isnin lalu, media melaporkan remaja perempuan berusia 13 tahun dipercayai menjadi mangsa rogol bapa dan datuknya sendiri di dua lokasi berbeza di kawasan Malim Nawar sejak lima tahun lalu.

Bagaimanapun, derita remaja itu berakhir apabila bapa dan datuknya ditahan susulan laporan polis yang dibuat Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Hasron Nazri Hashim berkata, perbuatan itu terbongkar apabila mangsa yang juga anak sulung dari dua beradik menceritakan kejadian dirogol oleh kedua-dua suspek sejak lima tahun lalu kepada ibunya yang berusia 31 tahun selepas dipercayai tidak mampu lagi menanggung tekanan selepas diperlakukan sedemikian.

Datuk mangsa bagaimanapun dibebaskan polis semalam dan hanya bapa kandung dihadapkan ke mahkamah hari ini.

Berita berkaitan

Datuk, bapa bernafsu binatang

Disiarkan pada: January 11, 2019 @ 11:08am
d