mutakhir

Lokman Noor dibebaskan

Oleh Nor Azizah Mokhtar

SELEPAS 12 jam, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Lokman Noor Adam, yang ditahan mengikut Akta Hasutan oleh Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Bukit Aman, petang semalam, dibebaskan hari ini.

Lokman yang juga Presiden Pemantau Malaysia Baharu (PMB), dibebaskan 10.30 pagi tadi selepas bermalam di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi (IPD) sejak 10 malam tadi.

Semalam, Lokman dipanggil memberikan keterangan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), JSJ Bukit Aman, berhubung berhubung satu video ‘Live’ - Kerajaan Pakatan Harap (PH) Cuba Melindungi Pembunuh Muhammad Adib.

Setiausaha PMB, Lisa Yahaya menerusi satu kenyataan, semalam memaklumkan Lokman ditahan selepas dipanggil untuk hadir di JSJ Bukit Aman untuk memberi keterangan pada 2 petang.

“Sebaik proses rakam keterangan ke atasnya selesai, beliau diberitahu akan ditahan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan.

“Pada sekitar 10.00 malam, beliau dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi dan diarahkan bermalam di situ dan dijangka dibebaskan esok (hari ini),” katanya.

Tambahnya, pihaknya kesal dengan penahanan itu selain tidak ada keperluan untuk Lokman bermalam di dalam lokap.

Bagaimanapun, sehingga kini masih belum ada sebarang pengesahan dikeluarkan oleh Bukit Aman berhubung penahanan dan pembebasan Lokman.

Berita berkaitan

Lokman Noor Adam ditahan polis

Disiarkan pada: January 11, 2019 @ 12:02pm
d