mutakhir

Sindiket seludup manusia, tumpas!

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

POLIS menumpaskan sindiket penyeludupan manusia yang didalangi warga Sri Lanka dalam beberapa operasi di Klang, Selangor, Jumaat lalu.

Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, sindiket berkenaan dikesan menggunakan laluan maritim di Klang untuk menyeludup migran dari Sri Lanka ke Australia dan New Zealand.

Beliau berkata, dalam operasi berkenaan, seramai 34 migran terdiri daripada 24 warga Sri Lanka dan 10 warga India ditangkap.

“Selain itu, polis turut menahan tiga lelaki warga Sri Lanka dipercayai ahli sindiket berkenaan.

“Hasil siasatan mendapati sindiket ini sudah membeli sebuah bot pelancong bagi tujuan penyeludupan manusia,” katanya dalam satu kenyataan, di Kuala Lumpur, hari ini.

Mohamad Fuzi berkata, siasatan juga mendapati sindiket dalam proses untuk membeli tiga buah enjin bot untuk tujuan penyeludupan migran ke Australia dan New Zealand.

“Dengan tertangkapnya sindiket itu, polis berjaya melumpuhkan rangkaian sindiket penyeludupan manusia di Malaysia yang beroperasi sejak pertengahan tahun lalu.

“Sindiket ini mempunyai rangkaian hubungan antarabangsa merentasi Sri Lanka, India, Australia dan New Zealand,” katanya.

Menurutnya, semua mereka kini ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 5 (2) Akta Imigresen 1959/1963 kerana masuk dan cuba keluar dari Malaysia menggunakan jalan yang tidak sah.

“Selain itu, mereka akan disiasat mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 dan Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007,” katanya.

Disiarkan pada: January 11, 2019 @ 3:58pm
d