mutakhir

Dua didakwa miliki rokok seludup [METROTV]

Oleh Siraj Mohd Zaini

DUA penjaga kedai runcit warga asing dihadapkan ke Mahkamah Majistret Telok Datuk, Banting, hari ini atas pertuduhan menyimpan rokok seludup di dua premis berbeza, minggu lalu.

Tertuduh, Riza Rifari, 20, dari Indonesia dan Mahmmed Asruddeen Karike Basheer, 26, warga India bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mohd Isa Md Nor.

Mengikut pertuduhan, Riza didakwa memiliki barang larangan iaitu 1,600 batang rokok daripada tiga jenama berbeza dianggarkan bernilai RM128.

Perbuatan itu dilakukan di sebuah premis di Bandar Saujana Putra, Jenjarom, pada 12.30 tengah hari 3 Januari lalu.

Mahmmed Asruddin pula didakwa memiliki 1,380 batang rokok daripada lima jenama berbeza yang dianggarkan bernilai RM107.20 di sebuah premis di Kampung Bukit Changgang, pada 10.30 pagi 2 Januari lalu.

Justeru, mereka melakukan kesalahan mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang 10 kali ganda nilai atau RM100,000 atau penjara tidak kurang enam bulan atau tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Kes pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Muhammad Khairul Farhan Rakbi manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam T Mishant.

Muhammad Khairul memohon kedua-dua tertuduh diikat jamin sebanyak RM30,000 dan pasport milik mereka diserahkan kepada mahkamah.

Mohd Isa kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 setiap seorang.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 19 Februari depan.

Bermula tahun ini, sindiket dan penjual rokok serta arak seludup akan dikenakan hukuman denda lebih tinggi selepas pindaan Akta Kastam 1967 dan Akta Eksais 1976.

Disiarkan pada: January 11, 2019 @ 8:15pm
d