mutakhir

Tidur lokap dulu

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

TINDAKAN lelaki menunggang motosikal secara berbahaya dan membuat aksi zig zag serta melanggar lampu isyarat merah di Jalan Padang Matsirat, Langkawi mengundang padah apabila ditahan polis.

Dalam kejadian jam 12.30 tengah malam semalam, peniaga kedai makan berusia 22 tahun itu didapati menunggang motosikal Kawasaki RR secara berbahaya oleh anggota polis yang menjalankan Op Samseng Jalanan di kawasan terbabit.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintendan Mohd Iqbal Ibrahim berkata, polis yang menyedari perbuatan suspek bertindak mengekorinya sebelum menahannya di kawasan Kampung Perana di sini.

Menurutnya, suspek kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Langkawi untuk tindakan lanjut.

“Motosikalnya turut dirampas dan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya hari ini.

Disiarkan pada: January 12, 2019 @ 11:42am
d