mutakhir

Serah dokumen 300 halaman

Oleh Murni Wan Omar

KUALA LUMPUR: Pihak pendakwaan dalam kes Datin Seri Rosmah Mansor yang didakwa meminta dan menerima rasuah berhubung projek bersepadu sistem solar untuk sekolah di Sarawak sudah menyerahkan dokumen sebanyak 300 muka surat kepada pembelaan.

Perkara itu disahkan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Mohd Dusuki Mokhtar selepas kes itu disebut semula hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Azman Abdullah di sini.

Menurutnya, antara dokumen itu adalah tender dan surat berkaitan projek itu.

“Hari ini (semalam) ditetapkan untuk pengurusan kes dan memaklumkan kepada mahkamah berhubung perkembangan kes ini.

“Pihak kami membuat permohonan memindahkan kes ke Mahkamah Tinggi namun ada beberapa isu dibangkitkan pembelaan oleh itu belum ada keputusan berhubung status kes,” katanya.

Terdahulu, peguam Datuk Akberdin Abdul Kader yang mewakili Rosmah berkata pihaknya menerima dokumen itu pada Rabu lalu.

Oleh itu, beliau memohon untuk meneliti semua dokumen sebelum membuat keputusan berhubung permohonan pendakwaan untuk memindahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi.

Mahkamah menetapkan 15 Februari depan untuk pengurusan kes.

Pada 15 November tahun lalu, Rosmah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, atas dua pertuduhan meminta rasuah RM187,500,000 dan menerima rasuah RM1.5 juta berhubung Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid dan Penyelenggaraan serta Operasi Genset/Diesel untuk sekolah di Sarawak dua tahun lalu.

Rosmah didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Rosmah hadir bersama suaminya Datuk Seri Najib Razak dan anak lelaki mereka Mohd Ashman.

Disiarkan pada: January 12, 2019 @ 11:43am
d