mutakhir

Denda RM1,000 berasas

Oleh Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor

PEWARTAAN denda akibat kehilangan pasport sehingga RM1,000 buat kali ketiga adalah berasas berikutan terlalu banyak pasport dilaporkan hilang tahun lalu.

Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) Jabatan Imigresen Malaysia, Datuk Abdul Halim Abdul Rahman berkata, lebih 2.1 juta pasport dikeluarkan pihaknya tahun lalu namun 83,617 pasport dilaporkan hilang.

Menurutnya, jumlah kehilangan itu lebih tinggi berbanding tahun sebelumnya yang merekodkan 75,600 dan 44,528 (2016).

“Perkara ini adalah satu kebimbangan kerana pasport adalah dokumen keselamatan negara.

“Disebabkan itu bermula 2 Januari lalu, Imigresen mewartakan denda RM200 bagi kehilangan pasport kali pertama, kali kedua (RM500) dan ketiga (RM1,000),” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Perbarisan Tamat Latihan dan Kawalan Kehormatan Penolong Penguasa Imigresen KP29 2018 di Akademi Imigresen Malaysia (AIM) di Port Dickson hari ini.

Mengulas lanjut, Abdul Halim berkata, denda yang dikenakan Jabatan Imigresen itu bertujuan memastikan pemegang pasport bertanggungjawab dan tidak mengambil mudah.

“Bagi kehilangan pasport akibat dicuri, dirompak dan kebakaran, ia mendapat pengecualian yang perlu disertakan laporan polis. Jika tercicir atau kecuaian, pemegang akan didenda,” katanya.

Mengikut pecahan kes kehilangan pasport tahun lalu katanya, 62,044 pasport hilang dalam simpanan, dicuri (5,022), diserahkan kepada agensi tertentu (170), kebakaran (559), berpindah rumah (7,815), malapetaka (1,203), disimpan tempat tidak selamat (1,949), tercicir (4,682) dan tertinggal dalam kenderaan (173).

Dalam perkembangan lain, Abdul Halim berkata, 14,724 operasi dilaksanakan dengan 191,218 pemeriksaan dibuat Jabatan Imigresen di seluruh negara tahun lalu.

“Hasil pemeriksaan itu, 48,372 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan manakala 1,468 majikan diambil tindakan.

“Untuk tempoh 12 hari tahun ini saja kita sudah melaksanakan 313 operasi membabitkan 3,476 pemeriksaan dengan 1,397 PATI ditahan dan 14 majikan diambil tindakan,” katanya.

Disiarkan pada: January 12, 2019 @ 12:21pm
d