mutakhir

Ayam 19 sen sekoq

Oleh Zuliaty Zulkiffli

RATUSAN pembeli sanggup beratur panjang demi mendapatkan ayam yang dijual pada harga 0.19 sen seekor di Simpang Empat Kangkung, Alor Setar, hari ini.

Difahamkan, mereka mula beratur untuk membeli Ayam Bismi sejak selepas Subuh, meskipun jualan hanya dibuka kira-kira 8 pagi.

Bagaimanapun, hanya 219 pengunjung terpilih dapat membeli ayam pada harga murah itu manakala selebihnya berpeluang membeli ayam pada harga RM6.19 sekilo dan dihadkan dua ekor setiap seorang.

Dalam tempoh 20 minit sebaik jualan dibuka pada 8.19 pagi, semua ayam murah itu habis dijual kepada pelanggan termasuk ada yang datang dari Perlis.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bismi, Mazlina Kamarudin berkata, setiap pengunjung perlu membawa 0.19 sen untuk mendapatkan nombor terawal sehingga 219 sempena sambutan ulang tahun Ayam Bismi yang ke 30 hari ini.

Beliau berkata, setiap pengunjung yang datang akan diberi kupon cabutan bertuah untuk memenangi hadiah menarik termasuk 30 motosikal dan 300 periuk nasi yang kesemuanya bernilai RM120,000.

“Kami memohon maaf kepada pengunjung yang datang awal pagi semata-mata untuk membeli ayam pada harga paling murah. Bagaimanapun, ia cuma dihadkan kepada 219 orang saja.

“Namun kita membuka peluang kepada orang ramai membeli ayam sekitar harga RM6.19 sekilo yang saya rasakan masih murah berbanding harga di luar iaitu RM8 atau RM9 sekilo,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Mazlina berkata, selain itu mereka turut menghidangkan hidangan nasi Arab dengan ayam tandoori yang disediakan untuk 600 jemputan yang datang pada hari ini sebagai penghargaan kepada mereka yang menyokong produk keluaran syarikat itu.

Pelanggan terakhir, Norawati Md Akhir, 36, berkata, dia pada mulanya menyangka tidak ada rezeki untuk membeli ayam pada harga 0.19 sen, namun bersyukur apabila nasib menyebelahinya.

Katanya, ayam yang dibeli menggunakan syiling yang dikumpul yang kebanyakannya satu sen membolehkannya membuat sate ayam untuk keluarganya hari ini.

“Memang berbaloi harga murah macam ini kerana harga ayam sekarang sangat mahal dan inilah peluang untuk saya dapatkan harga murah,” katanya yang menetap di Tokai, Pendang di sini.

Disiarkan pada: January 12, 2019 @ 2:22pm
d