mutakhir

Warga emas trauma diacu parang

Nur Saliawati Salberi

SUAMI isteri warga emas berdepan detik cemas apabila disamun tiga penjenayah sejurus selepas bersarapan di sebuah kedai di Taman Melaka Raya, Melaka.

Dalam kejadian jam 8.30 pagi Ahad lalu itu, kedua-dua mangsa berusia 60-an tidak mengalami kecederaan.

Sumber berkata, kejadian berlaku ketika pasangan itu menuju ke kereta untuk pulang sebelum didatangi kereta putih dinaiki sekumpulan lelaki.

“Ketika hendak masuk ke dalam kereta, secara tiba-tiba tiga penjenayah lelaki bertopeng dan bersenjatakan parang panjang mengacu senjata itu ke arah mangsa.

“Mereka kemudian merampas beg tangan mangsa sebelum melarikan diri,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Mohd Nor Yhazid Idris berkata, akibat kejadian itu mangsa mengalami kerugian lebih RM2,000 membabitkan wang tunai serta barang berharga lain.

“Susulan kejadian, mangsa membuat laporan di Balai Polis Bandar Hilir selain wang tunai dan pelbagai dokumen milik mangsa dilaporkan hilang.

“Usaha mengesan suspek giat dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana samun berkumpulan dengan senjata,” katanya hari ini.

Disiarkan pada: January 12, 2019 @ 3:44pm
d