mutakhir

Terima bantuan keperluan dan kelengkapan harian

Oleh Mohd Sabran Md Sani

SERAMAI 100 keluarga terdiri daripada golongan asnaf di daerah Johor Bahru menerima pelbagai keperluan dan kelengkapan harian sumbangan pelbagai pihak sempena Program International Kasih Amal (PIKA) di Kolej Vokasional Azizah Larkin di sini, hari ini.

Program amal yang dianjurkan di kawasan terbuka itu ibarat program ‘Free Market’ kerana memberi kebebasan kepada penerima memilih barangan keperluan masing-masing di tapak khas yang disediakan.

Kehadiran Persatuan ‘Reaching Heart’ yang juga dari kalangan isteri duta asing di Singapura membawa ‘beg hadiah’ mengandungi pelbagai barangan keperluan harian, disambut penerima dengan senyuman.

Kehadiran pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dari seberang tambak itu memperlihatkan komitmen mereka menyalurkan bantuan rentas sempadan.

Pengarah Jabatan Pembangunan Wanita Negeri Johor, Mohamad Ali Taib, berkata PIKA dilaksanakan pertama kali tahun ini bagi membantu golongan asnaf mendapatkan barangan keperluan harian.

“Kebetulan program pertama dilaksanakan di Kolej Vokasional Azizah Johor Bahru dan ia memanfaatkan lebih 100 asnaf mendapatkan pelbagai keperluan harian di bawah satu bumbung.

“Jika dulu kita fokus bantuan disalurkan dari rumah ke rumah, tetapi pendekatan kali ini cukup berbeza dengan penerima sumbangan diberi peluang memilih sendiri kelengkapan diperlukan mereka,” katanya ketika ditemui pada majlis itu, hari ini.

Menurutnya, kehadiran kumpulan NGO dari Singapura membabitkan isteri duta asing di negara jiran amat berharga berikutan kesungguhan pihak terbabit membawa masuk pelbagai barangan keperluan harian.

“Mereka sanggup mengumpulkan barangan untuk dibawa ke negara ini dan kebanyakannya masih baru terutama alat permainan kanak-kanak.

“Biarpun terpaksa melalui prosedur pemeriksaan di seberang tambak selama hampir tiga jam, usaha mereka ini harus dipuji kerana membantu golongan memerlukan di negara ini,” katanya.

Menurutnya, selain menerima mainan dan kelengkapan rumah, penerima memperoleh barangan keperluan harian seperti beras, gula, minyak masak dan ubat gigi.

“Penajaan juga diterima dari rangkaian restoran makanan segera dan gedung pakaian terkenal di Johor Bahru, selain persatuan usahawan wanita,” katanya.

Mengambil kira kejayaan program itu, ia akan diperluaskan di daerah Muar dan Kulai, selain Kolej Vokasional Azizah akan menjadi tuan rumah pada tiga program sama tahun ini.

Suri rumah, Rozilawati Supaat, 46, yang menetap di Kampung Usaha Jaya, Tampoi, berkata, dia bersyukur kerana terpilih sebagai penerima PIKA di Kolej Vokasional Azizah hari ini.

“Saya bersyukur kerana pihak berkenaan sudi memilih keluarga kami sebagai salah seorang penerima bantuan. Selain pakaian dan barangan keperluan harian, dua anak saya teruja kerana dapat memilih mainan yang disumbangkan NGO,” katanya.

Disiarkan pada: January 12, 2019 @ 6:32pm
d