mutakhir

Pemandu Pejabat Pertanian Serdang maut

Oleh Rosli Ilham

LELAKI maut selepas motosikal yang ditunggang bertembung dengan sebuah teksi di Kilometer 18. 5, Jalan Paka - Bandar Al Muktaffi Billah Shah (AMBS), dekat Bukit Sejuk, Dungun, malam ini.

Kejadian jam 8 malam, mengakibatkan Zahawi Ngah, 59, yang bertugas sebagai pemandu di Pejabat Pertanian Serdang Selangor maut di lokasi kemalangan akibat kecederaan parah dialami.

Kejadian itu dipercayai berlaku apabila motosikal yang ditunggang mangsa dari arah AMBS ke Paka cuba mengelak sekumpulan lembu yang melintas di situ.

Berikutan itu, motosikal mangsa dikatakan terbabas ke laluan kanan jalan sebelum bertembung dengan teksi Proton Wira yang datang dari arah bertentangan.

Sementara itu, anak saudara mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Awang, 52, berkata, arwah Zahawi, isteri dan anaknya tinggal di Serdang, Selangor.

Menurutnya, mangsa pulang bercuti berseorangan dan tinggal beberapa hari di rumah adiknya di Jalan Nibong Stesen, Dungun.

“Sebelum kejadian, arwah pergi melawat rumahnya di AMBS dan dalam perjalanan pulang ke rumah adiknya, dia terbabit dalam kemalangan itu,” katanya ketika ditemui di Bilik Forensik Hospital Dungun.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.

Katanya, jenazah dibawa ke Bilik Forensik Hospital Dungun untuk tindakan lanjut.

“Pemandu kereta terbabit yang berusia 52 tahun dalam perjalanan dari Kemasik Kemaman untuk pulang ke rumahnya di Bandar Bukit Besi,” katanya.

Beliau berkata, pemandu kereta membuat laporan di Balai Polis Ketengah Jaya dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Disiarkan pada: January 13, 2019 @ 12:15am
d