mutakhir

Kembara syahadah

Oleh Suraya Roslan

Bangi: Perjuangan mereka demi mengubah pandangan dunia mengenai Islam cukup terpuji apabila menggunakan segala kudrat dan tenaga serta masa untuk melakukan kembara syahadah ke Timur Tengah dan Eropah.

Program anjuran badan bukan kerajaan Kembara Malaysia, Timur Tengah dan Eropah (MAMERO) itu diketuai Saharudin Jaafar sebagai Penyelaras Program ke beberapa daerah sekitar Eropah dan Timur Tengah.

Saharudin berkata, kembara selama sebulan bermula 19 Januari ini disertai 17 hingga 25 ahli bertujuan memberi kesedaran mengenai kepentingan memulihkan kembali nama baik Islam di mata masyarakat Eropah dan dunia.

“Apabila bercakap mengenai Islam di sana, pelbagai persepsi timbul antaranya Islamophobia yang begitu sinonim dengan masyarakat bukan Islam di sana.

“Jadi kedatangan kami adalah bagi memulihkan nama baik Islam di mata mereka dan juga sebagai platform untuk mendekati serta bekerjasama dengan organisasi agama bukan Islam di sana dengan menjalankan program dialog mengenai kesedaran, perpaduan dan kedamaian,” katanya dalam sidang media di Darul Rahmah, di sini, semalam.

Menurutnya, kembara itu juga akan menemukan mereka dengan paderi dan Pertubuhan Antara Agama (Interfaith) United Kingdom (UK) yang mempunyai lebih 200,000 ahli terdiri daripada puluhan agama kepercayaan.

“Ini juga sebagai kunjungan hormat dan ramah mesra untuk berbincang mengenai dakwah, persamaan dalam agama dan pengislaman masyarakat di UK dan Eropah.

“Selain itu, pertemuan kami dengan lebih 19 organisasi sekitar Eropah untuk membincangkan isu semasa mengenai perkembangan Islam dan dakwah secara khusus.

“Kami menganggarkan sasaran penonton yang dapat dicapai sekitar 50,000 hingga 100,000 orang. Jadi kami akan hasilkan satu skrip dakwah yang dipecahkan kepada empat kumpulan untuk berjalan sekitar Eropah untuk menemui sasaran kami,” katanya.

Katanya, MAMERO juga mendapat sokongan daripada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamed, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang sudah sedia maklum mengenai kembara itu.

“Kembara selama sebulan ini akan bermula di London, Paris, Brussel, Amsterdam, Frankfurt, Zurich dan Geneva demi membangkitkan kesedaran mengenai keharmonian, kedamaian serta ketenangan dalam ajaran Islam sebenar.

“Kita juga berharap kembara ini mencapai objektifnya bagi menangani isu Islamophobia dan mengubah pandangan dunia mengenai Islam,” katanya.

Meskipun begitu, pihaknya berharap badan korporat dan agensi kerajaan serta orang ramai dapat menyumbang dana untuk merealisasikan kembara itu.

Orang ramai yang mahu menyumbang boleh berbuat demikian dengan menyalurkan sumbangan ke akaun Maybank 5621 8832 7168 atas nama WSC Associates Sdn Bhd.

Disiarkan pada: January 13, 2019 @ 7:56am
d