mutakhir

Esok boleh pi bida plat KER

Oleh Aizat Sharif

JABATAN Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah membuka tender tempahan bagi nombor pendaftaran kenderaan KER 1 hingga KER 9999 kepada orang awam bermula esok hingga 12 tengah hari 28 Januari ini.

Pengarah JPJ Kedah, Ismasuhaimi Shariff berkata, pihaknya mensasarkan RM1.5 juta nilai bidaan dan keseluruhan bagi siri KER.

“Ini berikutan sambutan yang memberangsangkan pada siri nombor pendaftaran lalu seperti KEN yang mengutip RM4.13 juta yang mana ia kutipan tertinggi bagi JPJ negeri ini.

“Selain itu juga, nilai bidaan dan jualan bagi siri KEE pula merekodkan RM1.87 juta diikuti KEP RM899,347 dan KEQ mencatatkan RM680,045.30,” katanya ditemui di Pejabat JPJ Kedah di Alor Setar hari ini.

Beliau berkata, bagi siri nombor pendaftaran KER kali ini, terdapat empat kategori harga tempahan yang disediakan kepada orang ramai.

“Bagi kategori Nombor Bernilai Utama (Golden Numbers) seperti KER 1 hingga KER 10, ia berharga RM10,000 manakala bagi kategori Nombor Menarik (Attractive Numbers) seperti KER 14 atau KER 15, ia bernilai RM20,000.

“Selain itu, RM300 dikenakan bagi mereka yang ingin menempah nombor pendaftaran siri itu yang membabitkan kategori Nombor Popular (Popular Numbers) dan Nombor Biasa (Running Numbers),” katanya.

Beliau berkata, bidaan tertinggi bagi siri sebelum ini pula banyak membabitkan siri KEN 1 dengan nilainya RM510,000.

“Bagi siri KEE 1 pula, ia bernilai RM308,000 diikuti siri KEP 1 dan KEQ 2 yang bernilai RM150,000 dan RM44,000.

“Kami ingin menegaskan tidak pernah melantik mana-mana individu bagi menguruskan urusan ini. Semua urusan adalah secara terus antara orang awam dan JPJ,” katanya.

Orang ramai yang berminat boleh mengemukakan tempahan kepada Pengarah JPJ Kedah dan panduan serta syarat-syarat lanjut mengenai tempahan boleh dilayari di laman web JPJ di http://www.jpj.gov.my/.

Sementara itu dalam perkembangan berlainan pula, Ismasuhaimi berkata, selaras dengan perubahan waktu operasi di Pusat Transformasi Bandar (UTC) di negeri itu, pihaknya juga sudah mengubah waktu operasi tugasan JPJ di kaunter mereka di UTC Alor Setar dan Sungai Petani.

“Bagi operasi kaunter JPJ di UTC Alor Setar, waktu operasi dari Ahad hingga Khamis bermula jam 1 tengah hari hingga 10 malam dan rehat dari jam 7 hingga 8 malam.

“Bagi Jumaat dan Sabtu, ia bermula pada jam 8 pagi hingga 5 petang dan di UTC Sungai Petani pula, ia beroperasi dari Khamis hingga Sabtu jam 8 pagi hingga 5 petang,” katanya.

Disiarkan pada: January 13, 2019 @ 12:27pm
d