mutakhir

Segera daftar penginapan pelancongan

Oleh Hamzah Osman

PEMILIK Premis Penginapan Pelancongan bakal berhadapan tindakan jika gagal mendaftar dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya sebelum akhir Mac ini.

Menteri Pelancongan, Seni Dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi berkata, premis penginapan itu termasuk hotel, resort, rumah tumpangan, asrama dan rumah inapan di seluruh negara.

“Justeru saya menyeru agar pihak terbabit dapat memanfaatkan pengecualian fi pendaftaran yang sedang berlangsung sehingga Mac ini.

“Jika selepas tarikh itu, tindakan akan diambil,” katanya selepas mengadakan pertemuan bersama penggiat industri perhotelan Langkawi di Pantai Chenang di Langkawi, hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan Kementerian itu mengecualikan bayaran pendaftaran berjumlah RM70 kepada semua pengusaha premis pelancongan mulai 1 Januari hingga 31 Mac ini.

Justeru, sejumlah 1,700 pengusaha yang belum berdaftar disaran supaya mengambil peluang untuk mendaftar premis mereka sepanjang tempoh berkenaan.

Mengulas isu lain, Mohamaddin berkata, Kementerian mempelawa agensi pelancongan kerajaan dan swasta untuk turut serta dalam International Tourismus-Boerse (ITB) 2019 di Berlin, Jerman Mac ini.

“Ia adalah acara promosi pelancongan terbesar dunia dan Malaysia adalah rakan rasmi negara untuk penganjurannya.

“Peluang sebegini tidak seharusnya dilepaskan badan-badan promosi pelancongan termasuk pihak swasta di setiap negeri kerana ini adalah platform promosi terbesar pelancongan dunia,” katanya.

Disiarkan pada: January 13, 2019 @ 12:32pm
d