mutakhir

Bayar cukai dapat motosikal

Oleh Mohd Rafi Mamat

“SAYA tidak percaya apabila pegawai Majlis Daerah Pekan (MDP) hubungi menyatakan saya memenangi motosikal jenis Yamaha Ego Avantiz 125cc berharga RM6,000.

“Impian memiliki motosikal ini menjadi kenyataan dan lebih bermakna apabila menerimanya secara percuma,” kata pekerja swasta, Noor Nazirah Kamaruzahid, 32.

Dia antara 70 pemenang karnival bayar dan menang 2018 kategori B membabitkan 2,492 penyertaan anjuran MDP yang menawarkan pelbagai hadiah bernilai RM50,000.

Noor Nazirah berkata, dia tidak menyangka penyertaannya dalam karnival itu membawa tuah.

Dia yang menetap di perumahan Shah Bandar Peramu, Pekan turut bersyukur menerima hadiah itu dan berbaloi selepas membayar cukai sejak sekian lama.

“Saya memuji usaha MDP mengadakan karnival bayar dan menang bagi memberi peluang pembayar cukai menerima pelbagai hadiah,” katanya ditemui

pada majlis penyampaian hadiah Karnival Bayar dan Menang 2018 Kategori B di Kelab Golf Diraja Pekan hari ini.

Sementara itu, Yang Dipertua MDP, Datuk Rose Shamsul Abdul Razak berkata, pihaknya sentiasa berusaha menarik minat pembayar cukai di daerah itu menjelaskan cukai semasa dan cukai tertunggak.

“Ia termasuk menganjurkan karnival seperti ini, dua kategori cabutan bertuah disediakan bagi memberi peluang kepada lebih ramai pembayar cukai menerima hadiah, setiap kategori menawarkan pelbagai hadiah bernilai RM50,000,” katanya.

Disiarkan pada: January 13, 2019 @ 12:34pm
d