mutakhir

'Tiba-tiba ribut menjelma'

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

“SAYA sangat takut apabila mendengar bunyi angin kuat di luar rumah sebelum atap tercabut,” kata Zainab Sharif, mangsa ribut di Rumah Rakyat Sikamat di Seremban semalam.

Rumah Zainab, 63, antara 11 rumah dari tiga taman perumahan iaitu Rumah Rakyat Sikamat, Taman Desa Permai dan Taman Desa Rhu yang rosak selepas dilanda ribut dalam kejadian jam 2.50 petang itu.

Warga emas itu berkata, ketika kejadian dia makan di dapur manakala anak dan empat cucunya berada di ruang tamu sebelum tiba-tiba ribut berlaku.

“Sebelum itu, cuaca baik dan tidak hujan. Hanya ribut yang secara tiba-tiba datang dan menerbangkan sebahagian atap rumah menyebabkan kami terkejut dan ketakutan.

“Kejadian itu berlaku dalam tempoh kira-kira 10 minit. Saya bersyukur kerana tiada ahli keluarga cedera walaupun rumah saya rosak teruk,” katanya ditemui di rumahnya hari ini.

Menurut Zainab, rumahnya sudah kali ketiga dilanda ribut sejak beberapa tahun lalu.

Sementara itu Setiausaha Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Jalan Jelebu, Mohammad Ibrahim Ahmad berkata, kejadian itu bukan kali pertama berlaku kerana kawasan terbabit menjadi laluan angin.

“Hampir setiap tahun beberapa rumah di kawasan ini rosak akibat ribut.

“Pada 2017, lebih 15 rumah rosak tetapi tahun lalu tiada rumah dilaporkan rosak,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya menerusi peruntukan kerajaan negeri menyalurkan bantuan segera dengan melantik kontraktor membaik pulih rumah penduduk yang rosak bermula hari ini.

Berita berkaitan

11 rumah rosak dibadai ribut

Disiarkan pada: January 13, 2019 @ 1:34pm
d