mutakhir

Mencari saham akhirat

Oleh Nazri Abu Bakar

SEORANG warga Rohingya sanggup berjalan sejauh kira-kira 10 kilometer setiap hari semata-mata untuk membersihkan Masjid Al Hidayah, Batu Berendam, Melaka.

Mohamad Rashid Abul Sayod, 58, yang menetap sementara di Ayer Keroh mengambil masa kira-kira satu jam berjalan dengan niat membantu menjaga kebersihan masjid berkenaan.

Menurutnya, jika ada sedikit wang dia akan ke masjid berkenaan dengan menaiki bas dan jika tidak dia bertawakal dengan berjalan sendirian walaupun terdapat banyak kenderaan di jalan raya.

“Saya ikhlas membersihkan masjid walaupun tiada siapa yang meminta berbuat demikian. Saya percaya kerja baik seperti ini biasanya dimurahkan rezeki.

“Tidak sangka, dalam pada niat ikhlas saya membersihkan masjid, saya sering menerima sumbangan orang ramai dan ahli jawatankuasa masjid. Sumbangan ini membolehkan saya menyara kehidupan seharian,” katanya yang ditemui di Masjid Al Hidayah, Batu Berendam, di sini, hari ini.

Mengulas pergolakan isu etnik Rohingya di Myanmar, Mohamad Rashid berkata, air matanya ibarat sudah kering mengenangkan kisah penderitaan dilaluinya sekeluarga serta seluruh penduduk Rohingya yang ditindas.

Katanya, pembunuhan besar-besaran serta penyeksaan yang dibuat ke atas penduduk Rohingya oleh junta tentera Myanmar menyebabkan isteri serta empat anaknya melarikan diri ke Bangladesh.

“Saya terpisah dengan ahli keluarga sejak empat tahun lalu disebabkan oleh pergolakan yang berlaku di Myanmar.

“Memang rindu mengenangkan ahli keluarga yang terpisah jauh dengan harapan kami dapat disatukan kembali dalam suasana lebih aman,” katanya.

Mohamad Rashid yang juga pemegang kad Suruhanjaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Untuk Pelarian (UNHCR) mengakui gembira menetap di negara ini berikutan sikap mesra masyarakat yang sering membantu warga Rohingya terutama soal kebajikan.

Disiarkan pada: January 13, 2019 @ 4:11pm
d