mutakhir

Mayat rentung dalam kereta

Oleh Norasikin Daineh

MAYAT ditemui dalam sebuah Proton Persona yang terbakar di Kampung Janang, Kuala Penyu, Beaufort, awal pagi tadi.

Difahamkan, kenderaan itu terbakar jam 2.30 pagi dan identiti mangsa belum diketahui.

Mayat ditemui oleh anggota bomba selepas operasi memadamkan api pada kenderaan terbabit.

Ketua Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Khatizah Rahaban berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 2.38 pagi.

“Seramai lima anggota bersama sebuah jentera dikejarkan ke lokasi kejadian dan hasil pemeriksaan mendapati kebakaran membabitkan sebuah Proton Persona.

“Terdapat seorang mangsa dilaporkan rentung dalam kenderaan itu. Pasukan bomba kemudian membuat kerja pemadaman dan pemeriksaan di kawasan berhampiran bagi memastikan tiada bahaya lain berlaku,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Khatizah berkata, kebakaran dikawal pada jam 2.53 pagi dan operasi ditamatkan sepenuhnya dua jam kemudian.

“Maklumat mangsa tidak diperoleh dan mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya. Operasi ditamatkan pada jam 4.53 pagi,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintenden Azmir Abd Razak ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

“Pihak forensik sedang menjalankan siasatan awal di lokasi kejadian dan kita sedang menunggu ahli keluarga mangsa dari Kota Kinabalu untuk pengesahan,” katanya.

Disiarkan pada: January 13, 2019 @ 4:36pm
d