mutakhir

Pemilik belum buat tuntutan

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

PEMILIK kepada kira-kira 100 hingga 150 kereta yang terbakar di Depoh Simpanan Kereta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur, semalam, masih belum membuat tuntutan.

Pengarah Jabatan Penguat Kuasa DBKL Azman Mahmood berkata, semua kereta yang diletakkan di dalam depoh berkenaan sudah dilelong dan sedang dalam proses untuk diambil oleh pemilik.

“Semua kereta terbabit sudah dilelong pada bulan lalu. Kenderaan terbabit dalam proses pengalihan pembeli memandangkan mereka (pembeli) diberikan tempoh kira-kira sebulan iaitu pada 20 Januari ini untuk mengambil kereta berkenaan.

“Bagaimanapun, insiden kebakaran pula berlaku dalam tempoh terbabit. Buat masa ini, kami belum menerima tuntutan daripada pemilik memandangkan kawasan depoh masih lagi diselia pihak bomba untuk melakukan siasatan berhubung kebakaran itu,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Azman berkata, pihaknya masih belum mengenal pasti jumlah kerugian akibat kebakaran di depoh berkenaan, semalam.

“Kami masih belum mendapat jumlah keseluruhan kerugian akibat kebakaran itu. Pada masa sama, kami masih menanti laporan daripada pihak bomba berkaitan punca kejadian berkenaan,” katanya.

Semalam, Harian Metro melaporkan kira-kira 100 hingga 150 kereta rosak dan musnah dalam kebakaran di depoh terbabit, kira-kira jam 2 pagi, semalam.

Berita berkaitan

[UPDATE] Polis tunggu laporan forensik bomba

Lebih 100 kereta hangus

Disiarkan pada: January 13, 2019 @ 6:43pm
d