mutakhir

Enam ditahan terbabit judi

Oleh Nurul Amanina Suhaini

SEORANG wanita serta lima lelaki ditahan kerana disyaki terbabit dengan kegiatan perjudian dalam talian hasil serbuan di tiga premis berasingan di Jalan Raya Kulai dan Jalan Susur Kulai 1, Johor Bahru, semalam.

Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Tok Beng Yeow berkata, dalam Ops Dadu yang dijalankan pihaknya semalam, sebanyak 78 premis diperiksa namun tiga premis berkenaan yang terbabit dengan aktiviti judi loteri awam tanpa lesen dan judi catit taruh haram.

Hasil maklumat orang ramai, katanya, pihaknya menahan enam lelaki termasuk seorang wanita membabitkan dua juruwang dan empat pemain, berusia antara 26 hingga 66 tahun.

“Pada serbuan pertama kira-kira jam 12.10 tengah malam itu, polis menahan seorang lelaki iaitu juruwang di premis Jalan Raya Kulai, selain merampas buku kecil mengandungi tiga kertas catatan angka disyaki loteri awam tanpa lesen, pen dakwat hitam dan wang tunai berjumlah RM37.

“Serbuan kedua diadakan kira-kira jam 2.20 petang dan kami menahan seorang lelaki yang juga juruwang di premis Jalan Susur Kulai 1, merampas buku kecil mengandungi tiga kertas tercatit angka disyaki loteri awam tanpa lesen, pen dakwat biru dan wang tunai berjumlah RM86.

“Pada serbuan terakhir kira-kira jam 4.30 petang, tiga lelaki dan seorang wanita iaitu pemain ditahan dan kami merampas peralatan berkaitan keputusan perlumbaan judi, dua helaian surat khabar terkandung jadual perlumbaan kuda serta tercatit angka disyaki judi catit taruh haram, tiga meja bulat, tiga kerusi dan wang tunai berjumlah RM860,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beng Yeow berkata, kesemua individu ditahan di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai untuk siasatan lanjut dan peralatan perjudian loteri awam tanpa lesen dan judi catit taruh haram turut dirampas selain jumlah rampasan wang tunai bernilai RM983.

Katanya, dua ditahan mengikut Seksyen 4A(A) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 bagi kesalahan judi loteri awam yang boleh didenda sehingga RM200,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun.

“Manakala empat yang lain ditahan mengikut Seksyen 6(3) Akta Pertaruhan 1953 yang boleh didenda maksimum RM200,000 dan dikenakan hukuman penjara tidak melebihi lima tahun.

“Operasi akan dijalankan berterusan bagi memastikan aktiviti perjudian haram yang terdiri daripada judi loteri awam tanpa lesen, judi dalam talian dan judi dalam bangunan di kawasan pentadbiran IPD Kulai dapat dibanteras sepenuhnya,” katanya.

Disiarkan pada: January 13, 2019 @ 6:56pm
d