mutakhir

Suspek curi burung walit ditahan

Oleh Nor Farhani Che Ad

SEORANG lagi suspek kes curi sarang burung walit di Taman Damai, Padang Serai, ditahan polis hari ini.

Ketua Polis Daerah Kulim Superintendan Ahmad Nasir Jaafar berkata, suspek lelaki berusia 41 tahun itu ditahan di Taman Rhu, jam 1.30 tengah hari ini.

“Soal siasat yang dilakukan mendapati suspek mengaku terbabit dalam kes berkenaan.

“Suspek juga didapati mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan, Seksyen 447 Kanun Keseksaan, Seksyen 453 Kanun Keseksaan, Seksyen 414 Kanun Keseksaan dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, siasatan diteruskan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Semalam, Harian Metro melaporkan tindakan tiga lelaki memecah masuk sebuah bangunan dan mencuri sarang burung walit di Taman Damai, Padang Serai, membawa padah apabila salah seorang daripada mereka berjaya dicekup.

Dalam kejadian jam 4.15 pagi itu, aktiviti mencurigakan suspek disedari dua pekerja yang sedang membuat pemeriksaan.

Disiarkan pada: January 13, 2019 @ 11:13pm
d