mutakhir

Jangan langgar disiplin parti - Anwar

Oleh Siraj Mohd Zaini

PRESIDEN PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan ahli parti itu supaya tidak melanggar peraturan dan disiplin yang diamalkan sejak dahulu lagi.

Ia berikutan, beliau tidak akan bertolak ansur sekiranya perkara itu berlaku dan semua ahli parti harus akur dengan asas perjuangan PKR sejak ia ditubuhkan lebih 20 tahun lalu.

“Saya beri peringatan mesti ada disiplin dalam parti. Kalau setakat sindir-menyindir ketika mesyuarat di dalam parti 'ok' lagi.

“Tapi kalau terus main wayang, kalau ada, saya minta ia dihentikan,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam yang dianjurkan bagi meraikan pemilihannya sebagai Presiden PKR di Shah Alam, malam tadi.

Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri yang juga isterinya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Dr A Xavier Jayakumar; Menteri Kerja Raya, Baru Bian serta Menteri Besar Selangor, Amiruddin Shari.

Dalam pada itu, Anwar ketika ditemui media selepas majlis turut bersetuju dengan cadangan Bersih 2.0 supaya undang-undang pilihan raya dipinda supaya setiap menteri persekutuan tidak dibenarkan menggunakan jentera kerajaan.

“Saya setuju, sekarang ini arahan menteri tak boleh kempen, macam yang berlaku pada Port Dickson (Pilihan Raya Kecil Port Dickson).

“Itu memang kita buat dan seharusnya dicontohi semua menteri,” katanya.

Anwar berkata, beliau berpuas hati dengan penjelasan diberikan Senator Bob Manolan Mohamad baru-baru ini yang dikatakan mengugut tidak membayar gaji Tok Batin Orang Asli sekiranya tidak menyokong kerajaan.

Dalam pada itu, Dr Wan Azizah berkata, pemimpin PKR diingat supaya tidak mendabik dada dan takbur dengan pangkat dan kuasa diberikan pada masa kini.

Beliau berkata, meskipun Pakatan Harapan (PH) sudah mentadbir beberapa negeri dan di peringkat pusat, segala nasihat dan rintihan rakyat perlu didengari.

“Saya berharap kita semua sebagai anggota Keadilan, mengingati kembali Deklarasi Permatang Pauh, menghayati kembali dasar dan perjuangan kita dalam memperjuangkan agenda reformasi.

“Dengarlah nasihat dan rintihan rakyat di luar sana yang mahukan perubahan, janganlah kita ulangi sikap pemerintah dahulu yang akhirnya membawa kepada kejatuhan rejim,” katanya.

Dr Wan Azizah yang juga bekas Presiden PKR berkata, parti itu tidak mempunyai banyak masa dan perlu membuktikan mereka layak menjadi pemimpin negara.

Katanya, rakyat akan menghukum parti itu sekiranya mereka gagal melunaskan segala yang dijanjikan sebelum ini.

“Kitalah yang mendidik rakyat celik politik, menyedarkan hak mereka untuk bersuara dan mempertahankan hak mereka.

“Jadi kalau kita tidak ‘perform’, kuasa rakyat akan menentukan di mana kita lima tahun akan datang,” katanya.

Disiarkan pada: January 14, 2019 @ 12:06am
d