mutakhir

Suspek kes bunuh ditembak mati

Oleh Muhammad Mustakim Ramli

LELAKI dikehendaki atas pelbagai kegiatan jenayah termasuk bunuh dan samun, ditembak mati polis di Kampung Jerung, di Sungai Petani, 5.45 pagi, hari ini.

Ia selepas suspek berusia 28 tahun bertindak melepaskan tembakan ke arah anggota polis yang cuba menangkapnya.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, Senior Asisten Komisioner Mior Faridalthrash Wahid berkata, sebelum kejadian, pihaknya mengesan suspek selepas menerima laporan daripada seorang lelaki.

“Suspek sebelum itu dilaporkan melepaskan tembakan ke arah kereta milik seorang lelaki dipercayai pengedar dadah di Flat Paya Nahu dekat Sungai Petani, 11.30 malam semalam.

“Pemilik kereta berkenaan kemudian membuat laporan kerana bimbang keselamatan dirinya kerana suspek sebelum ini pernah mengugutnya.

“Berdasarkan maklumat diterima, kereta suspek berjaya dikesan di Jalan Kuala Muda menuju ke Kuala Ketil sebelum polis cuba menahannya," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, pagi ini.

Difahamkan, suspek bertindak melepaskan beberapa das tembakan ke arah kenderaan polis selepas memberhentikan keretanya menyebabkan polis terpaksa menembak suspek.

Mior Faridalthrash berkata, siasatan awal mendapati suspek dipercayai adalah lelaki yang menembak sebuah kereta di Flat Paya Nahu berdasarkan nombor telefon yang digunakan bagi menghubungi pemilik kenderaan itu.

“Pemeriksaan lanjut ke atas kereta dinaiki suspek menemui sejumlah dadah dipercayai jenis heroin dan polis turut menjumpai sepucuk pistol semi-automatik yang digunakannya.

“Semakan mendapati suspek mempunyai rekod jenayah membabitkan kes bunuh pada 2018, samun dan memiliki senjata merbahaya,” katanya.

Katanya, mangsa yang berusia 40-an turut ditahan pihaknya malam semalam, kerana mempunyai beberapa rekod jenayah, selain saringan air kencing mendapati dia positif dadah.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh,” katanya.

Disiarkan pada: January 14, 2019 @ 12:07pm
d