mutakhir

Mayat berulat dekat jambatan

Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque

MAYAT lelaki yang sudah berulat ditemui berhampiran jambatan Sekolah Kebangsaan Kambug, di Padawan, jam 7.10 malam semalam.

Mayat tanpa identiti itu ditemui penduduk kampung, yang kemudian memaklumkannya kepada polis.

Ketua Polis Daerah Padawan, Superintendan Aidil Bolhassan berkata, sebaik menerima maklumat, polis bergegas ke lokasi.

Beliau berkata, lelaki itu berseluar hitam, berbaju coklat lengan panjang bercorak belang, namun tidak berkasut.

“Polis turut menemui satu beg plastik dekat telinga lelaki itu, namun polis tidak dapat memastikan kandungan di dalamnya,” katanya ketika dihubungi NSTP, hari ini.

Aidil berkata, lokasi mayat ditemui hanya tujuh kilometer dari sempadan Sarawak - Kalimantan Barat di Indonesia.

Tambahnya, berdasarkan maklumat diterima daripada pemimpin di kampung berkenaan, tiada penduduk yang dilaporkan hilang dalam tempoh beberapa hari lalu.

Katanya, mayat kemudian dihantar ke Hospital Umum Sarawak di Kuching untuk bedah siasat.

“Kes setakat ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut sehingga keputusan bedah siasat diperoleh,” katanya.

Disiarkan pada: January 14, 2019 @ 12:12pm
d