mutakhir

Ramai prihatin nasib budak derita kulit rapuh

Oleh Nor Fazlina Abdul Rahim

Kota Bharu: “Alhamdulillah rakyat Malaysia begitu prihatin terhadap anak saya, Muhammad Alif Firdaus Mohd Rosdy yang mengalami penyakit kulit rapuh. Terima kasih kepada semua yang menghubungi dan menderma.”

Demikian luahan Ruziah Ismail, 38, susulan kisah anak bongsunya berusia lapan tahun disiarkan di Harian Metro sehingga mendapat perhatian pelbagai pihak.

Beliau berkata, sejak berita penderitaan anaknya itu disiarkan, dia mendapat ratusan panggilan dan WhatsApp setiap hari daripada pelbagai pihak untuk bertanyakan kisah anak bongsu daripada tiga beradik itu.

“Ada yang ingin bertanyakan kesahihan penyakit yang dialami Muhammad Alif Firdaus, ada yang ingin menghulurkan sumbangan selain ada menawarkan pelbagai jenis produk.

“Pada masa sama, ada pihak ingin menawarkan rawatan kepada Muhammad Alif Firdaus. Saya tidak sangka ramai yang prihatin terhadap nasib anak saya.

“Akibat terlalu banyak panggilan diterima, saya terpaksa menutup panggilan kerana perlu memberi perhatian kepada Muhammad Alif Firdaus dan hanya mampu menerima mesej daripada WhatsApp saja,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Akhbar sebelum ini melaporkan, Muhammad Alif Firdaus yang bersekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Tapang di sini, menderita penyakit Epidermolysis Bullosa atau kulit rapuh sejak lahir kini semakin teruk apabila seluruh tubuh badannya luka selain jari melekat di antara satu sama lain.

Akibat penyakit dialaminya, Muhammad Alif Firdaus tidak boleh bergaul dengan rakan, tidak boleh ke kantin sekolah kerana dikhuatiri terjatuh dan menyebabkan lukanya semakin teruk.

Kanak-kanak itu juga terpaksa memakai lampin pakai buang kerana tidak mampu menguruskan diri akibat jarinya yang melekat menyebabkan ibunya terpaksa berulang-alik ke sekolah sekurang-kurangnya tiga kali sehari.

Mengulas lanjut, Ruziah turut memohon maaf kepada pihak menawarkan rawatan serta menjual produk kerana dia terpaksa menolak secara baik.

“Ramai yang tidak tahu penyakit kulit rapuh tiada penawar yang membolehkannya sembuh kerana ia penyakit keturunan. Saya juga tidak boleh memberikan sebarangan ubat kerana bagi mengelak lukanya semakin teruk.

“Bukan saya berkira untuk membeli produk ditawarkan, namun sebelum ini akibat kelalaian saya juga luka Muhammad Alif semakin teruk dan saya tidak mahu mengulangi perkara itu dan semua ubat digunakan kini atas saranan doktor,” katanya.

Disiarkan pada: January 14, 2019 @ 12:35pm
d