mutakhir

KDN bincang lanjut 6 akta dengan AGC

Oleh Suhaila Shahrul Annuar

KEMENTERIAN Dalam Negeri (KDN) sedang mengkaji dan mengadakan perbincangan lanjut dengan pihak Jabatan Peguam Negara untuk memperhalusi cadangan pindaan atau pemansuhan enam akta yang akan dikemukakan kepada Jemaah Menteri untuk kelulusan.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, akta yang sedang dikaji adalah Akta Hasutan 1948, Akta Pencegahan Jenayah 1959 dan Akta Pencegahan Keganasan 2015, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) dan Akta Perhimpunan Aman 2012.

Katanya, prinsip asas dalam kajian undang-undang ini adalah kerana kerajaan perlu menggubal undang-undang berkaitan keselamatan yang dapat mengimbangi keperluan untuk menjaga keselamatan negara dengan berkesan dan pada masa sama memelihara hak kebebasan asasi seperti yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Amanat Tahun Baharu 2019 KDN di Putrajaya, hari ini.

Berhubung SOSMA, Muhyiddin berkata status akta itu masih lagi dibincangkan secara menyeluruh dengan pemegang taruh (stakeholders) dan badan bukan kerajaan termasuk Majlis Peguam.

"Beri kami sedikit masa. Malah hari ini saya akan diberi taklimat penuh dari pegawai kementerian mengenai SOSMA dan akta lain.

"Saya fikir Majlis Peguam tidak sepatutnya membuat tanggapan awal apabila saya membuat kenyataan yang sebelum ini tidak pernah lengkap. Satu jawatankuasa ditubuhkan untuk melihat akta ini dan mendapat pandangan dari Jabatan Peguam Negara sebelum saya mengemukakannya kepada Kabinet untuk kelulusan, "katanya.

Dalam pada itu, katanya satu dasar kewarganegaraan baharu perlu digubal untuk memastikan mereka yang memenuhi segala syarat dan peraturan yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan mendapat anugerah taraf kewarganegaraan tanpa diskriminasi.

"Secara umumnya, proses permohonan kewarganegaraan memerlukan rombakan terhadap beberapa prosedur dan syarat yang bersifat pentadbiran untuk membolehkan penilaian ke atas permohonan kewarganegaraan dibuat secara cekap, telus dan adil.

"Ini termasuk penilaian ke atas kes permohonan kewarganegaraan yang membabitkan pasangan dan anak kepada warganegara termasuk anak angkat.

"Selaras dengan janji dalam manifesto kerajaan Pakatan Harapan (PH), KDN sudah menganugerahkan taraf kewarganegaraan kepada 1,641 individu berketurunan India berumur 60 tahun ke atas yang memenuhi syarat kewarganegaraan," katanya.

Dalam pada itu, katanya tumpuan utama perkhidmatan KDN bagi tahun ini termasuk merombak semula sistem pengoperasian imigresen dengan melaksanakan konsep 'end-to-end operation' untuk mengelakkan gejala rasuah dan mempercepatkan proses.

"Selain itu, memerangi jenayah pemerdagangan manusia, penyeludupan migran, jenayah rentas sempadan dan memperhebatkan strategi pecegahan dan kawalan radikalisme dan ekstremisme dalam usaha memerangi keganasan global," katanya.

Disiarkan pada: January 14, 2019 @ 1:04pm
d