mutakhir

Sindiket bekal dadah kepada tahanan, tumpas [METROTV]

Oleh Norizuan Shamsuddin

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah yang menumpukan penjualan untuk tahanan penjara hasil penahanan lima lelaki di sekitar Johor, kelmarin

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, hasil penahanan suspek berusia 26 hingga 30 tahun itu pihaknya merampas dadah dianggarkan bernilai RM814,000.

“Pada 12 Januari, Jabatan Siasatan Narkotik (JSJN) Bukit Aman bersama JSJN Johor melancarkan dua serbuan di sekitar Johor bermula jam 7 malam hingga 11 malam.

“Hasil serbuan kami menahan lima lelaki tempatan dan merampas 9.88 kilogram (kg) dadah disyaki syabu, 16.4 kg heroin dan 940 biji pil ektasi.

“Polis turut merampas dua kereta, tiga motosikal, barang kemas dan wang tunai RM22,0000. Jumlah sitaan ini dianggarkan bernilai RM189,000,” katanya pada sidang media di Bukit Aman, Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau berkata, penahanan suspek adalah susulan penangkapan empat ahli sindiket pada tahun lalu.

“Mereka dipercayai aktif membekalkan dadah ke dalam penjara di Simpang Renggam, sejak 2017,” katanya.

Fuzi berkata, semua suspek kini direman selama tujuh hari sehingga 19 Januari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Kami masih melakukan siasatan bagaimana dadah ini di seludup masuk ke dalam penjara berkenaan.

“Kami turut bekerjasama dengan Jabatan Penjara Malaysia bagi memastikan sekiranya ada pembabitan orang dalam bagi tindakan lanjut berhubung kes ini," katanya.

Disiarkan pada: January 14, 2019 @ 1:57pm
d