mutakhir

Dua sahabat dipenjara [METROTV]

Oleh Mohd Hilmie Hussin

DUA sahabat dijatuhi hukuman penjara lapan tahun dan lima sebatan oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, Melaka hari ini selepas mengaku bersalah mendatangkan kecederaan ke atas dua lelaki yang disamun mereka, Disember lalu.

Hakim Elesabet Paya Wan menjatuhkan hukuman itu selepas Isshamuddin Idris, 38, dari Kampung Padang Kerbau, Alor Gajah dan Mohd Fittri Abdol Wahab, 34, dari Kampung Baru, membuat pengakuan bersalah sejurus pertuduhan dibacakan terhadap mereka.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa bersama-sama mendatangkan kecederaan ke atas Fouj Ali Khan dan Hukam Zad menggunakan sebatang besi kuku kambing ketika melakukan samun di Taman Perindustrian Merdeka, Batu Berendam, jam 10.15 malam, 28 Disember 2018.

Bagi kesalahan itu, kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 20 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebatan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Siti Ruvinna Mohd Rawi manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Isshamuddin merayu hukuman ke atasnya diringankan dengan alasan menanggung 12 adik-beradik manakala Mohd Fittri pula merayu hukuman diringankan dengan alasan menanggung empat adik bersekolah selain ibu bapanya tidak bekerja.

Bagaimanapun, Siti Ruvinna membantah hukuman ringan dan memohon hukuman bersifat pengajaran dikenakan ke atas kedua-dua tertuduh walaupun mengaku bersalah pada kali pertama pertuduhan dibacakan.

Selain itu katanya, mahkamah juga perlu mengambil kira faktor kecederaan dan pergelutan yang berlaku, selain memberi pengajaran kepada masyarakat.

Mahkamah kemudian memerintahkan kedua-dua tertuduh dipenjara lapan tahun bermula dari tarikh ditangkap pada 28 Disember 2018 bagi tertuduh pertama dan 1 Januari lalu bagi tertuduh kedua.

Mahkamah turut memerintahkan kedua-dua tertuduh dikenakan lima sebatan.

Disiarkan pada: January 14, 2019 @ 3:14pm
d