mutakhir

Tak sengaja tertembak, pengawal direman

Oleh Mohd Hilmie Hussin

PENGAWAL keselamatan direman empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan membabitkan insiden terlepas tembakan ke lantai di sebuah pusat beli-belah di Bandar Hilir, Melaka semalam.

Dalam kejadian jam 12.30 tengah hari, lelaki berusia 41 tahun itu melepaskan tembakan dipercayai secara tidak sengaja ketika mengiringi syarikatnya membawa wang daripada sebuah pawagam di pusat beli-belah Element Mall di Melaka.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, polis menerima laporan daripada Polis Bantuan Element Mall membabitkan kejadian yang berlaku di luar tandas tingkat bawah Zon A.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati tembakan berkenaan hanya mengenai lantai dan dinding.

“Bagaimanapun, ia (kejadian) tidak membabitkan kecederaan atau kehilangan nyawa.

“Akibat kejadian itu, terdapat kerosakan berlaku di bahagian lantai dan dinding,” katanya hari ini.

Susulan itu, Afzanizar berkata, suspek direman empat hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 39 Akta Senjata Api 1960.

Perintah reman dikeluarkan Pendaftar Mahkamah Majistret Ayer Keroh, Syarina Shaarani.

Disiarkan pada: January 14, 2019 @ 5:48pm
d