mutakhir

[UPDATE] 'Syam Sado' dihormati dan rajin membantu

Oleh Shamsul Munir Safini dan Mohamed Basyir

MOHAMMAD Nazrulhisyam Mohamed Meera, 27, atau turut dikenali sebagai ‘Syam Sado’, yang dibunuh ala mafia dengan lima das tembakan di Jalan Patani, Georgetown, disifatkan sebagai seorang yang sangat dihormati dan disenangi rakannya.

Itu gambaran disampaikan sebilangan daripada lebih 100 rakan dan saudara arwah yang memenuhi Jabatan Forensik Hospital Pulau Pinang (HPP) bagi menunggu proses bedah siasat ke atas jenazah sejak jam 9 pagi hari ini.

Difahamkan, Nazrulhisyam yang terbabit dalam beberapa aktiviti pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu sentiasa disenangi dan mudah didekati setiap lapisan umur.

Rata-rata yang ditemui Harian Metro mengakui terkejut dengan apa yang berlaku dan menyifatkan ia satu kejadian yang menyayat hati.

Bapa mangsa, Mohamed Meera, 50-an, dilihat menangis sambil memeluk anak perempuan dan isteri ketika menunggu untuk menuntut jenazah anak lelakinya di Jabatan Forensik HPP.

Mereka yang berkongsi kesedihan bersama wartawan cuba ditenteramkan saudara-mara dan rakan terdekat.

Jenazah mangsa dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Jalan Perak, Georgetown sejurus selesai proses bedah siasat.

Dalam kejadian 11.30 malam tadi, mangsa maut ditembak dari jarak dekat di kawasan parkir Flat Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) Jalan Patani.

Mangsa ditemui maut dengan lima kesan tembakan di hadapan enam rakannya di kawasan parkir itu.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Che Zaimani Che Awang berkata, sebelum kejadian mangsa bersama enam rakannya itu berbual di situ.

Sejurus kemudian, katanya, motosikal Yamaha 135 LC berwarna hitam dinaiki dua lelaki secara tiba-tiba datang dari arah belakang dan berhenti di belakang mangsa.

“Seorang daripada mereka turun dari motosikal dan terus melepaskan beberapa das tembakan ke badan dan kepala mangsa menyebabkan dia jatuh terlentang.

“Ketika itu, suspek masih lagi melepaskan tembakan ke arah mangsa,” katanya.

Che Zaimani berkata, suspek yang dipercayai pembunuh upahan itu melepaskan lebih daripada lima das tembakan ke arah mangsa.

“Saksi di tempat kejadian tidak pasti dari arah mana suspek lari kerana mereka bertempiaran lari menyelamatkan diri.

“Suspek yang melepaskan tembakan memakai pakaian serba hitam dan memakai topi keledar berpenutup penuh berwarna hitam,” katanya.

Menurutnya, mangsa ditembak dari jarak tiga meter dan disahkan meninggal dunia di Unit Kecemasan HPP.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Berita berkaitan:

  • Mati ditembak depan enam rakan [METROTV]
  • Disiarkan pada: January 14, 2019 @ 6:38pm
    d