mutakhir

'Putih mata' pelaburan kelulut lebur

Oleh Norzamira Che Noh

BEBERAPA individu di Selangor ‘berputih mata’ selepas kerugian puluhan ribu ringgit ekoran tertipu dengan pelaburan projek madu kelulut lebih setahun lalu.

Projek madu kelulut itu dikatakan dijalankan di Segamat, Johor.

Pelabur, Masni Pado, 56, berkata, dia kerugian sebanyak RM36,000 kerana membeli 30 sarang (lot) kelulut pada Ogos 2017.

“Setiap satu sarang berharga RM1,200 dan kami dijanjikan bonus keuntungan sebanyak RM500 untuk satu sarang setiap bulan selama tempoh dua tahun.

“Saya mendapat bonus yang dijanjikan selama tiga bulan saja dan selepas itu pengurusan syarikat mula mendiamkan diri dan tidak menepati janji mereka sehingga kini,” katanya ketika ditemui selepas membuat laporan di Balai Polis Seksyen 15, di sini, hari ini.

Dia berkata, walaupun sudah beberapa kali berjumpa dengan pemilik syarikat berkenaan, alasan yang diberikan adalah sama iaitu projek tidak menjadi, syarikat hadapi masalah kewangan dan lain-lain.

Katanya, disebabkan bosan dengan alasan syarikat berkenaan, dia dan beberapa rakan pelabur tampil membuat laporan polis hari ini.

Seorang lagi pelabur, Ismail Wahid, 57, berkata, dia kerugian sebanyak RM12,000 selepas yakin dengan syarikat berkenaan

“Syarikat mereka kelihatan sangat meyakinkan, tambahan pula, kami menerima bonus yang dijanjikan mereka pada tiga ke empat bulan pertama justeru kami tidak mengesyaki ada penipuan.

“Bagaimanapun, selepas empat bulan mereka mula memberi pelbagai alasan dan sehingga kini kami tidak mendapat wang modal yang dilaburkan. Saya amat berharap agar syarikat dapat mengembalikan wang kami dengan kadar segera,” katanya.

Difahamkan, lebih ramai yang tertipu dengan projek berkenaan.

Menurut laporan sebuah portal berita, beberapa individu di Lahad Datu, Sabah membuat laporan polis minggu lalu terhadap syarikat sama dan menuntut lebih RM2 juta wang pelaburan.

Disiarkan pada: January 14, 2019 @ 7:01pm
d