mutakhir

'Misi kali ini mencabar' - MAPIM

Oleh Yusmizal Dolah Aling

“SAYA akui misi kali ini agak mencabar kerana cuaca sejuk namun kami akan terus membantu seramai mungkin saudara kita.

“Menerima ucapan semangat daripada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa memberikan semangat kepada delegasi. Doakan kami,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) Dr Ahmad Sani Araby Al Kahery.

Ketika ini beliau yang mengetuai misi kemanusiaan musim sejuk di Lubnan berada di Pergunungan Baqaa untuk membantu pelarian di sana yang terdesak memerlukan selimut serta pakaian tebal.

Misi kali ke-10 itu berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur kelmarin dan dijangka berada di sana selama 10 hari untuk mengedarkan bantuan berupa khemah, ubat-ubatan, alat pemanas dan baju sejuk kepada pelarian Syria di Lubnan.

“Ketika berada di pergunungan ini kami menerima video ucapan daripada Setiausaha Agung MAPIM Zul Hanis Zainol dan Penyelaras MAPIM Wilayah Persekutuan Fadhil Osman, ucapan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri.

“Ia akan dijadikan pembakar semangat pada saat kami sedang memikirkan bagaimana nasib kanak-kanak yang kesejukan dengan suhu -6 darjah Celcius.

“Insya-Allah kami akan kemas kini perkembangan,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Di dalam klip video itu, Wan Azizah meminta delegasi meneruskan semangat membantu mereka yang tertindas.

“Jaga kesihatan dan kekuatan, Insya-Allah akan dibalas dengan kebaikan di akhirat,” katanya.

Sementara itu, Dr Mujahid berkata, beliau berharap usaha MAPIM akan berjaya ketika berdepan situasi sukar berikutan cuaca sejuk.

“Selamat menjalankan tugas kepada MAPIM khususnya Dr Sani agar dapat menyampaikan dan membela mereka dalam keadaan begitu sukar dalam musim sejuk di khemah pelarian Syria.

“Selamat berjuang dan kami sentiasa bersama anda,” katanya.

Orang ramai yang ingin menyumbang, boleh berbuat demikian melalui www.tabungsyria.com.

Disiarkan pada: January 14, 2019 @ 8:16pm
d