mutakhir

Dibelasah sembilan lelaki

Oleh Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor

POLIS menjejaki enam individu yang menyebabkan seorang lelaki berusia 33 tahun cedera dalam pergaduhan di Taman Angsamas, Mambau, Seremban, semalam.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Thiew Hock Poh berkata, dalam kejadian 7.45 malam itu mangsa cedera di kepala dan muka dibelasah dengan rotan dan parang.

Katanya, mangsa bersama dua sepupu berusia 25 dan 20 tahun dikatakan mahu bertemu seorang lelaki di tepi jalan taman perumahan itu.

Menurutnya, pertemuan adalah bagi membincangkan mengenai motosikal milik seorang sepupunya yang hilang di Taman Kelab Tuanku, tiga hari lalu.

“Apabila tiba di lokasi pertemuan, mangsa mendapati ada sembilan lelaki menunggu di tepi jalan.

“Ketika perbincangan dilakukan, mangsa dipukul di kepala serta muka menyebabkan dia cedera,” katanya dalam kenyataan, di sini, malam ini.

Thiew berkata, mangsa dibawa mendapatkan rawatan di Hospital Tuanku Ja’afar manakala dua sepupunya tidak cedera.

“Susulan kejadian, mangsa membuat laporan dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban di sini, jam 9 malam,” katanya.

Polis sehubungan itu meminta orang ramai yang memiliki maklumat berhubung kejadian supaya menghubungi talian 06-6033284.

Kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh.

Disiarkan pada: January 14, 2019 @ 9:54pm
d