mutakhir

Lelaki terjun sungai ditemui lemas

Oleh Zaid Salim

PEKERJA kilang keropok di Kampung Bukit Gasing yang terjun di Sungai Marang, Marang, semalam, ditemui lemas oleh pasukan penyelamat, hari ini.

Mayat lelaki berkenaan, Abu Bakar Sidek, 28, ditemui Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Terengganu pada 3 petang di kedudukan kira-kira lima meter dari lokasi dia terjun.

Ketua BBP Marang, Penolong Kanan Penguasa Bomba Yahaya Hanafi berkata, dalam kejadian semalam, lelaki berkenaan dikatakan terjun ke sungai dalam usahanya untuk melarikan diri daripada ditahan polis.

Katanya, tindakan lelaki terbabit membawa padah apabila dia dipercayai gagal mengawal diri sebelum dihanyutkan arus.

“Dalam keadaan tercungap-cungap, dia meminta tolong dan cuba dibantu dua lelaki dalam perjalanan balik menangkap ikan di sungai berkenaan.

“Namun, cubaan dua lelaki terbabit gagal apabila mangsa didapati hilang pada 4.30 petang,” katanya kepada NSTP.

Yahaya berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilakukan selepas pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu.

“Selain bomba dan Penyelamat, operasi SAR turut disertai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) membabitkan seramai 28 anggota dan pegawai,” katanya.

Menurutnya, operasi SAR disambung dihentikan pada 9 malam tadi sebelum disambung semula pada 8 pagi hari ini.

Katanya, mayat lelaki berkenaan diserahkan kepada polis untuk dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu untuk bedah siasat.

Disiarkan pada: January 14, 2019 @ 9:55pm
d