mutakhir

Wang tunai, 676 setem dilarikan...

Oleh Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor

SEBUAH pejabat firma guaman di Bandar Baru Nilai, Nilai dipecah masuk penjenayah semalam menyebabkan kerugian lebih RM6,000 termasuk 676 keping setem turut dilarikan.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Nor Marzukee Besar berkata, kejadian disedari peguam lelaki berusia 33 tahun sebaik dia kembali ke premis itu 4 petang.

Katanya, mangsa mendapati kunci mangga di pintu utama hilang, manakala pintu kaca dirosakkan dan keadaan pejabat berselerak.

“Pemeriksaan mendapati kehilangan 500 keping setem 20 sen, 166 keping setem 60 sen dan 10 keping setem hasil bernilai RM10 setiap satu.

“Penjenayah turut melarikan wang tunai RM3,000, dua komputer riba, buku cek dan serangkai kunci pejabat,” katanya kepada NSTP, hari ini.

Mohd Nor Marzukee berkata, mangsa yang kerugian RM6,000 membuat laporan di Balai Polis Nilai, 5.14 petang semalam.

“Mangsa memaklumkan dia meninggalkan premis di tingkat satu di Putra Point Nilai itu dalam keadaan berkunci.

“Siasatan anggota forensik polis menemui 10 kesan cap jari dan suspek kini sedang diburu.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah masuk bangunan,” katanya.

Disiarkan pada: January 15, 2019 @ 11:24am
d