mutakhir

Dividen KWSP mungkin lebih rendah

Oleh Nadia Hamid

KUMPULAN Wang Simpanan Pekerja (KWSP) membayangkan pendapatan dividen tahun ini, dijangka lebih rendah berbanding 2017.

Pengerusinya, Tan Sri Samsudin Osman, bagaimanapun menegaskan kemungkinan jangkaan pendapatan dividen lebih rendah itu bergantung kepada faktor pasaran dan sentimen tempatan.

Beliau yang enggan mengulas lanjut berkata turun naik pendapatan dividen boleh dipengaruhi, antaranya, oleh faktor berkenaan.

“Boleh bayangkan keadaan pasaran (tahun ini). Saya tidak boleh kata pendapatan dividen lebih rendah tahun ini kerana belum ada keputusan (akhir).

“Kita (KWSP) cuma melihat apa (faktor) yang berlaku tahun ini,” katanya di Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau bercakap pada sidang media selepas melancarkan Buku ‘Who Says I Am Retired’, terbitan Pusat Penyelidikan Kesejahteraan Sosial (SWRC) Universiti Malaya (UM).

Ditanya sama ada dividen KWSP sekitar lima peratus dan Simpanan Shariah, 4.5 peratus, Samsudin enggan mengulas lanjut.

“Sentimen (faktor mempengaruhi dividen) seperti tahun lalu. Memang itu faktor yang boleh menjejaskan dividen,” katanya.

Mengulas lanjut, Samsudin menegaskan KWSP sedang mengadakan perbincangan terperinci dan belum memutuskan pendapatan dividen tahun ini.

Sebelum ini, BH melaporkan penganalisis ekonomi menjangkakan KWSP akan mengumumkan dividen simpanan konvensional sekitar lima peratus dan Simpanan Shariah, 4.5 peratus.

Trend penurunan dijangka akan berlaku dalam pengagihan dividen KWSP termasuk hibah Tabung Haji, susulan dipengaruhi faktor global dan sentimen tempatan.

Difahamkan, faktor lain yang boleh mempengaruhi penurunan dividen termasuk perang perdagangan Amerika Syarikat (AS)-China yang menjadikan pasaran ekuiti global dan tempatan merudum dan perubahan dasar ekonomi utama.

Faktor penurunan harga minyak mentah dijangka turut menyebabkan KWSP lebih berhati-hati untuk menyimpan tunai bagi pelaburan akan datang dan ketidakpastian politik dan sosioekonomi di Eropah (Brexit).

Sentimen tempatan yang dijangka mempengaruhi jangkaan trend penurunan, antara lain, usaha kerajaan yang masih mencari rentak pentadbiran optimum pada 2018; kelembapan sektor hartanah; kelemahan ringgit.

Pada 2017, KWSP mengisytiharkan dividen sebanyak 6.40 peratus bagi Simpanan Shariah dan dividen 6.90 peratus (simpanan konvensional).

Disiarkan pada: January 15, 2019 @ 12:21pm
d