mutakhir

Perhimpunan besar-besaran untuk Adib

Oleh Fazrik Kamarudin

GERAKAN Pembela Ummah (UMMAH) akan mengadakan perhimpunan besar-besaran di seluruh negara jika terdapat sebarang campur tangan dalam pengendalian siasatan berhubung kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim.

Pengerusinya, Aminuddin Yahaya berkata, campur tangan itu termasuk usaha untuk melengahkan siasatan, unsur permainan politik dan sebarang cubaan untuk mengubahsuai laporan dalam proses siasatan.

Katanya, UMMAH menggesa kerajaan supaya mengambil tindakan segera dan menjalankan siasatan dengan telus mengikut undang-undang sedia ada.

“Kerajaan perlu mengambil tindakan segera dan tidak melengah-lengahkan (proses perundangan) berhubung kes kematian Muhammad Adib.

“Ini kerana kita tidak mahu wujudnya sebarang unsur mengubah suai laporan (kematian Muhammad Adib) atau cubaan untuk melindungi mana-mana pihak atau individu.

“Perhimpunan ini akan dibuat seumpama perhimpunan membantah ICERD, cuma kali ini ia untuk mempertahankan keadilan dalam konteks, untuk Muhammad Adib,” katanya.

Aminuddin berkata demikian pada sidang media selepas hadir membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, di Kuala Lumpur, hari ini.

Mengulas mengenai laporan yang dibuat, beliau berkata, pihaknya meminta polis menjalankan siasatan jika wujudnya salah laku di dalam pengendalian kes kematian Muhammad Adib.

“Ia termasuk siasatan terhadap Peguam Negara, Tommy Thomas berhubung kemungkinan kacau ganggu di dalam pengendalian kes ini.

“Apa yang penting bagi kami, pesalah perlu ditangkap dan dibicarakan secepat mungkin, ini adalah proses keadilan kepada keluarga Muhammad Adib dan undang-undang,” katanya.

Pada 27 Disember lalu, Peguam Negara dilaporkan akan mengarahkan Majistret untuk membuat inkues bagi menentukan sebab kematian Muhammad Adib.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan berkata, beliau dimaklumkan sendiri oleh Peguam Negara, Tommy Thomas hasil perbincangan yang diadakan selepas penemuan dapatan tertentu polis menerusi rakaman percakapan saksi, lakonan semula dan hasil bedah siasat pihak forensik patalogi yang hanya boleh didedahkan di mahkamah kelak.

Muhamad Adib, 24, yang juga anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Subang Jaya parah selepas diserang dan dipukul perusuh dalam kejadian kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November lalu.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember di Institut Jantung Negara (IJN) selepas 21 hari bertarung nyawa.

Disiarkan pada: January 15, 2019 @ 12:54pm
d