mutakhir

Ubat Cina RM7.4 juta dirampas

Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque

BAHAGIAN Penguatkuasaan Farmasi (BPF) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mematahkan cubaan menyeludup ubat tradisional Cina bernilai RM7.4 juta di Pelabuhan Senari, di Kuching, 8 Januari lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pihaknya menghidu taktik sindiket penyeludupan itu hasil risikan dan pemeriksaan di pintu masuk pelabuhan berkenaan.

Menurutnya, hasil daripada maklumat yang diterima, pasukan BPF menyerbu sebuah gudang penyimpanan ubatan tradisional Cina di Kuching dan berjaya menemui pelbagai ubatan yang tidak mendapat kelulusan KKM.

“Hasil pemeriksaan, pasukan BPF menemui lebih 100,000 kotak produk tidak berdaftar dan semua produk ini dibawa masuk untuk pasaran domestik di Sarawak.

“Ia juga dipercayai didalangi sindiket untuk dibawa masuk secara tidak sah ke dalam negara ini tanpa mendapat sebarang kelulusan daripada KKM,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Noor Hisham berkata, KKM akan menjalankan siasatan menyeluruh bagi mengenal pasti dalang di sebalik penyeludupan itu, supaya tindakan tegas dapat diambil.

Katanya, penyeludupan ubatan yang tidak mendapat kelulusan KKM memberi risiko kepada pengguna dan kementerian giat menjalankan operasi membanteras penjualan produk berkenaan.

Katanya, individu atau syarikat yang didapati menjual produk berkenaan disiasat mengikut Akta Jualan Dadah 1952 yang sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM 25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali untuk kesalahan berikutnya bagi individu.

‘Syarikat yang melakukan kesalahan berkenaan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya.

“KKM memberi amaran kepada mana-mana individu atau syarikat yang mempunyai stok produk ini agar menghentikan penjualan, pengedaran atau penggunaannya dengan serta-merta memandangkan produk tersebut tidak terjamin daripada segi kualiti dan keselamatan,” katanya.

Tambahnya, orang ramai disarankan untuk menyemak status pendaftaran sebelum membeli sesuatu produk kesihatan yang boleh dikenal pasti dengan meneliti nombor pendaftaran serta label Hologram Meditag pada pembungkusannya.

Noor Hisham berkata, orang ramai juga boleh menyemak status pendaftaran sesuatu produk melalui laman web https://www.npra.gov.my di ruangan “Product Status” ATAU dengan menghubungi Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) di talian 03-78835400.

Disiarkan pada: January 15, 2019 @ 2:22pm
d