mutakhir

Didera sehingga mati

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

LELAKI dipercayai warga asing yang mayatnya ditemui di dalam longkang tepi Jalan Ulu Yam menghala ke Batu Caves, di Gombak, Ahad lalu, dipercayai didera sehingga mati.

Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Samsor Maarof berkata, hasil bedah siasat dilakukan di Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN) Hospital Kuala Lumpur (HKL) mendapati punca kematian mangsa adalah kecederaan pada tisu lembut di seluruh badan.

“Berdasarkan laporan diperolehi, terdapat beberapa kecederaan lain pada badan mangsa iaitu dua jari kaki kanan dan satu jari kaki kiri dipotong. Selain itu, terdapat kesan kecederaan pada lengan kanan dan kiri selain bahagian abdomen serta perut dipercayai kesan bara api daripada objek panas.

“Malah, ada kesan jerut pada kedua-dua pergelangan kaki dan tangan serta kecederaan pada kedua-dua tapak kaki mangsa dipercayai akibat objek tumpul,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Samsor berkata, siasatan lanjut berhubung kes itu sedang giat dijalankan termasuk mengenal pasti identiti suspek yang terbabit dalam kejadian berkenaan.

“Kami akan menjalankan siasatan lanjut berhubung kes ini termasuk menyiasat kaitan kes ini dengan penemuan mayat seorang lelaki di bawah jambatan di Jalan Yew, Kuala Lumpur, hari yang sama.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Dang Wangi Superintendan Rudy Abdullah ketika dihubungi, turut mengesahkan punca kematian lelaki yang mayatnya ditemui di bawah jambatan di Jalan Yew, Ahad lalu adalah sama dengan kes kematian lelaki di Jalan Ulu Yam, iaitu kerana kecederaan pada tisu lembut di seluruh badan.

Semalam, Rudy memaklumkan kedua-dua kes terbabit mempunyai kaitan memandangkan kedua-dua mangsa mempunyai hubungan sebagai rakan.

Menurut sumber, kedua-dua mangsa berkenaan dikatakan hilang selepas keluar dari rumah sewa mereka di Jalan Pudu untuk menunaikan solat pada tengah hari Jumaat lalu.

Bagaimanapun, kedua-dua mangsa tidak pulang ke rumah sebelum mayat mereka ditemui secara berasingan di bawah jambatan di Jalan Yew, Kuala Lumpur dan dalam longkang di Jalan Ulu Yam, Gombak, Selangor, kira-kira jam 8 pagi, Ahad lalu.

Kedua-dua mayat itu ditemui dalam keadaan jari kaki dikerat dan kecederaan pada bahagian muka dan badan.

Berdasarkan siasatan awal polis mendapati kedua-dua mangsa dibunuh di lokasi lain sebelum mayat dicampak di kawasan berkenaan.

Berita berkaitan

Jumpa mayat dekat longgokan sampah

Dua rakan serumah jadi mangsa bunuh

Disiarkan pada: January 15, 2019 @ 2:41pm
d