mutakhir

Penentuan PRK DUN Semenyih Jumaat ini

Oleh Suhaila Shahrul Annuar

SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat khas berkaitan urusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih, Jumaat ini.

Setiausaha SPR, Datuk Mohamed Elias Abu Bakar berkata, SPR sudah menerima pemakluman rasmi daripada Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor Ng Sue Lim kelmarin berhubung kekosongan luar jangka kerusi DUN Semenyih berikutan kematian penyandangnya, Bakhtiar Mohd Nor pada 11 Januari lalu.

Beliau berkata, mesyuarat khas itu akan dipengerusikan Pengerusi SPR, Azhar Azizan Harun di Ibu Pejabat SPR Putrajaya.

Menurutnya, mesyuarat itu akan membincangkan mengenai tarikh penting urusan PRK seperti tarikh Writ Pilihan Raya, Hari Penamaan Calon, Hari Pengundian Awal, Hari Pengundian dan Daftar Pemilih yang akan digunakan dalam pilihan raya itu selain persiapan lain yang diperlukan bagi melaksanakan pilihan raya berkenaan.

“Satu sidang media akan diadakan selepas mesyuarat khas berkenaan,” katanya dalam kenyataan di Putrajaya hari ini.

Pada 11 Januari lalu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semenyih, Bakhtiar, 57, meninggal dunia di Hospital Kajang pada jam 4.45 pagi akibat serangan jantung.

Allahyarham dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) menjadi wakil rakyat di Semenyih selama lapan bulan selepas mengalahkan penyandang kerusi, Datuk Johan Abd Aziz daripada Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), Mei tahun lalu dengan majoriti 8,964 undi.

Beliau yang juga Ketua Bahagian BERSATU Hulu Langat memperoleh 23,428 undi.

  • Lagi berita berkaitan Pilihanraya Kecil Semenyih
  • Disiarkan pada: January 15, 2019 @ 4:39pm
    d