mutakhir

'Semuanya baik-baik sahaja'

Oleh Abdul Razak Raaff dan Mohamad Azim Fitri Abd Aziz

HUBUNGAN dua hala antara Malaysia dan Singapura baik sahaja, kata Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Sebagai bukti, lawatannya ke negara itu, semalam membolehkan wakil kedua-dua negara duduk, berbincang dan mencari penyelesaian kepada sebarang pertikaian yang dihadapi.

Malah, Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu menggambarkan pertemuan terbabit sebagai sangat produktif dan baik kerana mengekalkan momentum positif hubungan dua hala negara.

“Saya tak beranggapan bahawa hubungan antara dua negara ini seperti mana yang difikirkan walaupun terdapat beberapa isu sehingga boleh mengeruhkan hubungan baik dua negara berjiran.

“Menerusi kebijaksanaan kepemimpinan kedua-dua negara, saya percaya hubungan ini akan memberikan hasil yang cukup baik,” katanya ketika ditemui selepas Istiadat Pemasyhuran Sultan Pahang VI, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah di Istana Abu Bakar, Pekan, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohamed Azmin berkata, kenyataan pihak tertentu tidak wajar diambil kira sekali gus, menggagalkan objektif utama kedua-dua kerajaan.

“Terdapat beberapa isu yang kita sedang hadapi. Saya tidak mahu satu kenyataan tertentu dari mana-mana pihak yang akan menggagalkan objektif utama kedua-dua kerajaan.

“Kita mahu Singapura dan Malaysia menikmati hubungan rapat ini kerana ini adalah masa yang tepat untuk meningkatkan kerjasama (antara kedua-dua negara) terutama di rantau ini,” katanya.

Semalam, Menteri Luar Singapura, Dr Vivian Balakrishnan yang dilaporkan agensi berita Reuters berkata, hubungan Malaysia-Singapura disifatkan berada pada tahap amat membimbangkan.

Balakrishnan dipetik berkata, ia disebabkan beberapa siri pertikaian ruang udara dan perairan antara kedua negara yang diharap dapat diselesaikan dengan baik.

Pertikaian berlarutan membawa kepada penangguhan Mesyuarat Tahunan Jawatankuasa Bersama Peringkat Menteri Malaysia-Singapura untuk Iskandar Malaysia (JMCIM) Ke-14 yang sepatutnya berlangsung semalam.

Disiarkan pada: January 15, 2019 @ 6:23pm
d