mutakhir

[UPDATE] Terkenang lambaian Acit

Oleh Siraj Mohd Zaini dan Amirul Aiman Hamsuddin

LAMBAIAN terakhir arwah Muhammad Aryan Iman Abdullah, 7, ketika mahu ke sekolah menjadi detik terakhir yang meninggalkan kesan mendalam kepada Lizawati Osman, 37, selepas anaknya itu terbunuh akibat dirempuh lori di Kuala Selangor, hari ini.

Lebih memilukan, Muhammad Aryan Iman tidak sempat menyambut hari lahir adik bongsunya yang genap usia setahun, hari ini.

Lizawati berkata, arwah yang mesra dipanggil Acit cukup teruja dan tidak sabar pulang dari sekolah dan membeli kek untuk adik lelakinya, Muhammad Nur Muzafar Abdullah.

Ibu tunggal itu berkata, dia juga sempat menyiapkan arwah anaknya itu ke sekolah sebelum dikejutkan dengan kemalangan maut itu selang beberapa minit kemudian.

“Sebelum dia pergi pagi tadi (hari ini), dia lambai pada saya, saya sempat pesan jangan makan dalam kelas, makan waktu rehat saja.

“Pandangan wajahnya cukup gembira, ceria dan tidak sabar ke sekolah. Sebab dia tahu apabila balik sekolah, kami akan ke kedai kek dan beli kek untuk sambut ulang tahun hari lahir adiknya,” katanya ketika ditemui di kediaman keluarganya, hari ini.

Lizawati yang bekerja sebagai tukang masak di sebuah restoran di Jeram berkata, anaknya itu sangat rapat dengan neneknya dan disifatkan sebagai kanak-kanak yang penyayang.

“Betul-betul terkilan, arwah meninggal dunia pada hari lahir adik bongsunya dan sehingga kini saya masih terbayang-bayang raut wajahnya yang teruja hendak potong kek,” katanya.

Dalam kejadian 6.40 pagi itu, mangsa bersama bapa saudaranya, Mohd Rozaini Ismail, 47, maut dirempuh lori dari arah belakang di Kilometer 1, Jalan Kuala Selangor-Rawang berhampiran Jalan Teluk Piah.

Turut membonceng motosikal dinaiki Mohd Rozaini adalah anaknya, Muhammad Saifulbahari, 7, dan ketiga-tiga mereka dalam perjalanan ke Sekolah Kebangsaan Assam Jawa.

Muhammad Saifulbahari kini kritikal dan ditempatkan di Hospital Sungai Buloh selepas parah pada kepala dan patah bahu kiri.

Kedua-dua jenazah selamat dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Telok Piai, Kuala Selangor, selepas selesai proses bedah siasat di Hospital Tanjong Karang.

Sementara itu, isteri arwah Mohd Rozaini, Asidah Osman, 44, menyifatkan pemergian suaminya adalah dugaan hebat kerana ketika ini dia mengandung dua bulan.

“Ketika saya disahkan mengandung November lalu, arwah sangat gembira dan tidak sabar untuk menimang dan bermain bersama anak yang bakal lahir.

“Namun, kemalangan yang menimpa hari ini mengubah segala-galanya. Allah lebih menyayanginya dan saya sekeluarga reda akan ketentuan Ilahi,” katanya.

Menurut Asidah, Allahyarham disifatkan sebagai seorang yang suka berjenaka, selain ramah dan ceria bersama sanak-saudara dan sahabat-handai.

Katanya, arwah yang bekerja sebagai pemandu lori di Pelabuhan Klang pulang seminggu sekali dan hanya menghantar Muhammad Saifulbahari dan Muhammad Aryan Iman ketika cuti.

“Kebetulan, arwah cakap tiada barang untuk dihantar. Jadi, dia ambil kesempatan itu dengan bercuti dan menguruskan mereka (Saifulbahari dan Muhammad Aryan Iman).

“Malah pagi tadi, arwah tidak sempat bersalaman dengan saya seperti kebiasaannya dan terus menghantar mereka berdua,” katanya.

Asidah berkata, dia hanya mengetahui kejadian pilu itu selepas orang awam menghubunginya menggunakan telefon bimbit milik arwah suaminya itu.

“Jantung saya ibarat disentap dan dunia saya gelap sebentar apabila mengetahui suami dan anak saudara meninggal dunia, manakala anak (Muhammad Saifulbahari) parah,” katanya.

Berita berkaitan

  • [UPDATE] Damailah kau di sana... [METROTV]
  • Ajal sebelum sampai sekolah
  • Disiarkan pada: January 15, 2019 @ 6:28pm
    d