mutakhir

Tiada kompromi soal rasuah - MB Terengganu

Oleh Rosli Ilham

KERAJAAN negeri Terengganu akan memberi kerjasama kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam usaha membanteras gejala rasuah dalam kalangan kakitangan awam.

Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kerajaan negeri sentiasa tegas terhadap salah laku kakitangan awam dalam usaha menjadikan pentadbirannya bersih dan berintegriti.

“Sudah tentu hasrat kami untuk meningkatkan integriti dalam pentadbiran kerajaan dan kami harus faham SPRM menyiasat berdasarkan kepada sesuatu laporan termasuk laporan audit.

“Kami sangat terbuka dengan SPRM dalam hal ini untuk memastikan pentadbiran bersih, berintegriti dan bebas rasuah,” katanya selepas merasmikan Dewan Datuk Seri Tuan Guru di Darul Iman Training Centre (DITC), Chukai, hari ini.

Hadir sama, Ahli Parlimen Marang, Abdul Hadi Awang; Mursyidul Am PAS, Hashim Jasin dan Ketua Pegawai Eksekutif DITC, Shuhaimi Embong.

Sementara itu, Samsuri berkata, isu pertukaran 95 pegawai tadbir Terengganu yang berkuat kuasa esok, tidak berkait dengan isu rasuah seorang pegawainya yang direman semalam.

“Tiada kena mengena dengan isu rasuah pegawai terbabit. Isu rasuah itu isu baru selepas dibuat pertukaran.

“Pertukaran itu pegawai disebabkan pegawai bersara dan akan ada lagi pertukaran selepas ini iaitu pada Mei dan Jun nanti,” katanya.

Ketika ditanya mengenai kenaikan tarif air, beliau berkata, tiada sebarang keputusan dibuat mengenai kenaikan tarif air dan kerajaan negeri sedang mendapat pandangan daripada kementerian terbabit.

“Masih ada beberapa perkara belum mencapai kata putus dan kami akan membincangkan perkara itu dengan kerajaan Pusat.

“Saya akan umumkan keputusannya nanti apabila mencapai kata sepakat,” katanya.

Disiarkan pada: January 15, 2019 @ 9:14pm
d