mutakhir

Azeez hadapi 12 pertuduhan [METROTV]

Oleh Murni Wan Omar

AHLI Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim, 53, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, atas tiga pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM5.2 juta sebagai upah mendapatkan projek jalan raya di Perak dan Kedah bagi sebuah syarikat.

Beliau juga mengaku tidak bersalah atas sembilan pertuduhan membabitkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram hampir RM140 juta.

Semua pertuduhan itu dibacakan di hadapan dua hakim berbeza iaitu Azura Alwi dan Rozina Ayob.

Bagi pertuduhan pertama Abdul Azeez didakwa menerima rasuah RM1.2 juta melalui akaun bank miliknya daripada Pengarah Syarikat Menuju Asas Sdn. Bhd Mohammad Redzuan Mohanan Abdullah.

Ia didakwa sebagai upah bagi dirinya membantu Syarikat Menuju Asas Sdn Bhd mendapatkan projek daripada kerajaan secara rundingan terus dan tender terhad yang keseluruhannya bernilai RM197,805,750.18.

Ia membabitkan tiga projek iaitu Projek Jalan Air Kuning ke Kampung Gajah, Daerah Batang Padang, Perak (fasa pertama hingga ketiga), dan Projek Membina Jalan Kampung Merbau Kudung/Felda Teloi Timur, Sik, Kedah

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di CIMB Bank, Cawangan Menara UAB, No 6, Jalan Tun Perak, City Centre, pada 8 Disember 2010.

Bagi pertuduhan kedua dan ketiga, tertuduh didakwa menerima rasuah wang tunai masing-masing RM2 juta daripada Mohammad Redzuan sebagai upah membantu Syarikat Menuju Asas Sdn Bhd mendapatkan Projek Membina Lebuhraya Persisiran Pantai Baru: Kerja-Kerja Menaiktaraf Jalan Persekutuan FT005 (Teluk Intan ke Kampung Lekir, Perak Darul Ridzuan) secara tender terhad daripada Kementerian Kerja Raya Malaysia yang bernilai RM644,480,000.00.

Tertuduh didakwa melakukan kedua-dua perbuatan itu di Affin Bank Berhad, J-03-G, Blok J, Setiawalk, Persiaran Wawasan, Pusat Bandar Puchong, pada 13 Jun 2017 dan 10 April 2018.

Bagi semua perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah seksyen 24(1) Akta yang sama yang membawa hukuman penjara 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Selain itu, Abdul Azeez juga mengaku tidak bersalah atas sembilan pertuduhan menerima hasil daripada aktiviti haram berjumlah hampir RM140 juta.

Semua perbuatan itu didakwa dilakukan di sekitar Lembah Klang antara 8 Mac 2010 dan 30 Ogos 2018.

Semua perbuatan itu didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara maksimum 15 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan itu dilakukan atau lima juta ringgit, yang mana lebih tinggi.

Sementara itu, Datuk Abdul Latif Abdul Rahim, 61, didakwa atas dua pertuduhan bersubahat dengan adiknya menerima rasuah masing-masing RM2 juta daripada Mohammad Redzuan Mohanan sebagai upah membantu Syarikat Menuju Asas Sdn. Bhd. mendapatkan Projek Membina Lebuhraya Persisiran Pantai Baru.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di Affin Bank Berhad, J-03-G, Blok J, Setiawalk, Persiaran Wawasan, Pusat Bandar Puchong, dekat sini, pada 13 Jun 2017 dan 10 April 2018.

Bagi perbuatan itu tertuduh didakwa mengikut seksyen 28(1)(c) Akta SPRM 2009 dibaca bersama seksyen 16(a)(A) dan seksyen 24(1) Akta yang sama yang membawa hukuman penjara 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan Abdul Azeez diikat jamin RM800,000 bagi semua 12 pertuduhan manakala Abdul Latif dibenarkan ikat jamin RM500,000 bagi kedua-dua pertuduhan.

Mahkamah juga memerintahkan kedua-dua mereka menyerahkan pasport.

Disiarkan pada: January 16, 2019 @ 11:31am
d