mutakhir

Kantoi guna kad pengenalan palsu [METROTV]

Oleh Noor Hidayah Tanzizi

TINDAKAN seorang lelaki warga Filipina memohon kerja menggunakan kad pengenalan palsu memakan diri apabila ditahan pihak berkuasa, semalam.

Lelaki berusia 49 tahun yang juga Orang Tausug atau Suluk itu ditahan ketika sedang memohon pekerjaan di sebuah syarikat di Kawasan Perindustrian Kampung Acheh, Sitiawan, Perak.

Sumber Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Perak berkata, lelaki terbabit berasal dari Mindanao dan sudah memasuki negara ini sejak 1983.

Katanya, suspek yang sebelum ini berkerja kampung di Sabah mendakwa mendapatkan kad pengenalan palsu dengan harga RM1,500 daripada sindiket dipercayai dari Johor yang turut menguruskan pekerjaannya di Semenanjung.

“Lelaki itu mendakwa sudah lebih setahun berada di Johor, namun tidak berjaya mendapatkan sebarang pekerjaan sebelum dibawa ke Manjung sejak dua minggu lalu untuk memohon kerja di kawasan perindustrian di sini.

“Dia juga mendakwa baru setahun memegang kad pengenalan palsu berkenaan dengan alasan untuk mencari pekerjaan bagi menampung perbelanjaan keluarga di Filipina.

“Susulan penahanan lelaki itu, JPN turut menyerbu sebuah rumah di Taman Samudera, Manjung yang dipercayai diduduki ejen sindiket terbabit, namun mereka semua sudah melarikan diri,” katanya ketika ditemui di Seri Manjung, hari ini.

Menurutnya, lelaki terbabit turut mengaku bukan warga tempatan dan memaklumkan warga Filipina yang berhijrah akan menggunakan modus operandi dan sindiket sama untuk mendapatkan pekerjaan di negara ini.

“Lelaki itu mendakwa dia datang ke negara ini melalui Sabah dengan menaiki perahu sejak lebih 30 tahun lalu dengan membuat kerja kampung bagi menampung keluarga di Filipina.

“Manjung mempunyai kawasan perindustrian yang turut menjadi lokasi tumpuan pendatang mencari kerja,” katanya.

Sementara itu, suspek yang memakai pakaian lokap warna ungu, dibawa menaiki kenderaan JPN dan tiba di Mahkamah Majistret Seri Manjung jam 9.05 pagi bagi mendapatkan perintah reman.

Majistret Ainul Bashiirah Dona Don Biyajid membenarkan reman terhadap suspek terbabit selama dua hari bermula hari ini sehingga esok bagi membantu siasatan lanjut.

Kes akan disiasat mengikut Peraturan 25(1)(e) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan) 2007.

Disiarkan pada: January 16, 2019 @ 11:40am
d